suria

Malaysia Raih Perak Acara Karate

GUANGZHOU:Malaysia gagal menambah kutipan emas pada hari kedua acara karate di Sukan Asia ke-16 di sini apabila sekadar memungut satu pingat perak menerusi Jamalliah Jamaludin dalam acara Kumite Wanita lebih 68kg.

Jamalliah, 26 dari Sungkai, Perak tewas 2-5 kepada atlet dari Jordan, Manar Shath.

Pingat perak acara ini dikongsi oleh Pauline Pereira dari Macau dan Tang Lingling dari China.

Atlet Malaysia itu berkata jurulatih P.Arivalagan telah mengingatkannya agar berhati-hati dengan strategi lawan yang akan cuba bertahan sebelum menyerang.

"Saya bertindak agresif tetapi dia cuma bertahan dan atlet Jordan itu mengambil kesempatan menyerang kembali ketika saya pula bertahan," katanya.

Sementara itu, Lim Yoke Wai tersingkir di pusingan kedua acara Kumite lelaki bawah 67kg apabila tewas 0-1 kepada Shinji Nagaki dari Jepun manakala peserta wanita G. Vathana turut mengalami kekalahan 0-1 pada peringkat sama kepada Ma Pabillore dari Filipina dalam acara Kumite bawah 55kg.

Pada Rabu, Malaysia bertindak cemerlang dengan meraih dua emas menerusi Ku Jin Keat dalam acara Kata lelaki dan R.Puvaneswaran dalam acara Kumite lelaki bawah 55kg. - BERNAMA

Artikel Lain