suria

Malaysia Menang Dua Emas, Satu Gangsa Dalam Acara Karate

GUANGZHOU: Pasukan karate Malaysia menyumbangkan dua emas dan satu gangsa Rabu, tetapi kehilangan dua pemenang pingat emasnya apabila mereka mengumumkan Sukan Asia di Guangzhou merupakan temasya terakhir mereka.

Dalam acara yang berlangsung di Gimnasium Guangdong di sini Rabu, atlet karate berpengalaman Ku Jin Keat dan R. Puvaneswaran meraih emas manakala Lim Lee Lee memenangi gangsa.

Jin Keat mencatat sejarah apabila menjadi atlet karate Malaysia pertama memenangi acara Kata dalam temasya Sukan Asia, memecah dominasi kuasa besar Jepun dalam disiplin sukan itu.

Selepas memenangi gangsa dalam penyertaan pertama Sukan Asia 2002 di Busan, Korea Selatan, Jin Keat memperbaiki warna pingat apabila memperoleh perak pada temasya di Doha, empat tahun lepas.

Pada Rabu, atlet karate berusia 35 tahun itu menamatkan kerjaya gemilang dalam sukan itu dengan memenangi emas acara akhir Kata Individu Lelaki, menumpaskan Oki Itaru dari Jepun 3-2.

Kesemua lapan acara Kata Individu lelaki dan wanita pada Sukan Asia sebelum ini didominasi oleh Jepun.

Atlet Malaysia memulakan acara pada Rabu dengan menewaskan Cheng Tsz Man dari Hong Kong 5-0 dalam pusingan ketiga sebelum menumpaskan Dmitri Kazanor dari Kazakhstan 5-0 di peringkat suku akhir.

Pada separuh akhir, Jin Keat menewaskan Faizal Zainuddin dari Indonesia 4-1 sebelum bertungkus lumus menumpaskan atlet karate Jepun di peringkat akhir.

Namun edisi Sukan Asia Guangzhou mungkin yang terakhir baginya.

"Kemenangan pingat emas ini sangat bermakna kepada saya kerana ini mungkin Sukan Asia terakhir saya. Saya sudah berusia 35 tahun sekarang dan tidak sesuai untuk saya bertanding lagi empat tahun dari sekarang," katanya.

"Saya menang satu perak dan gangsa dalam dua Sukan Asia sebelum ini dan kini saya berasa bangga dan berpuas hati untuk bersara dengan satu emas," katanya kepada wartawan selepas pertandingan di sini, Rabu.

Sementara itu, Puvaneswaran yang sebelum ini mengumumkan Sukan Asia kali ini merupakan temasya terakhirnya, memperbaiki pingat perak yang diperoleh di Doha kepada emas selepas menewaskan Emad Mohammed Al Malki dari Arab Saudi dalam acara 55kg Kumite Lelaki.

Kedua-dua atlet yang agresif berusaha mendapatkan mata menerusi tumbukan dan tendangan keras dengan sorak-sorai para penonton.

Pada akhir tiga minit pertandingan, dan keempat-empat juri tidak mengangkat bendera masing-masing kepada pemenang, pengadil Michael Huang dari Taiwan menggunakan kuasanya mengisytiharkan Puvaneswaran sebagai pemenang.

"Tamatlah kisah cinta saya terhadap sukan ini. Dan saya bernasib baik kerana mengakhirinya dengan satu pingat emas. Saya berharp menjadi jurulatih negara tetapi terserah kepada Majlis Sukan Negara," kata atlet karate Malaysia berusia 36 tahun itu.

Pada pusingan ketiga, Puvaneswaran menewaskan Nguyen Hoang Hiep dari Vietnam 1-0, memenangi peringkat suku akhir menewaskan Hsieh Cheng Kang (Taiwan) dengan penghakiman pengadil, dan menumpaskan Mohammad Ghasemi Laskoukalayeh 1-0 dari Iran pada separuh akhir sebelum mengalahkan atlet Arab Saudi di peringkat akhir.

Sementara itu, teman wanita Jin Keat sejak Sukan Asia Busan, Lee Lee berpuas hati memperoleh pingat gangsa selepas menewaskan Dewi Yulianti dari Indonesia 5-0 dalam penentuan pingat itu dalam acara Kata Individu Wanita.

Lee Lee sebelum itu menewaskan Yanisa Torratanawathana dari Thailand 5-0 pada pusingan ketiga sebelum tewas kepada atlet karate Jepun Rika Usami 0-5 pada suku akhir.

Dalam acara repechage, atlet Malaysia menewaskan Roji Nagarkotifron dari Nepal 5-0 untuk penentuan gangsa berhadapan Indonesia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Yamini Sekadar Raih Perak

Artikel Berikut

Artikel Lain