suria

Paralimpiad: Olahraga, Renang Lubuk Emas Sarawak

MELAKA: Sarawak memperolehi 30 pingat emas pada Selasa di mana 15 daripadanya menerusi acara olahraga pada hari ketiga Sukan Paralimpiad Ke-15 Melaka di sini.

Antara kategori yang menjadi penyumbang pingat emas dalam acara olahraga untuk Sarawak ialah 100m lelaki T37 dan wanita T12 juga 200m lelaki T37 dan wanita T12.

Acara renang masih menjadi antara penyumbang besar pingat emas Sarawak apabila memungut 14 pingat emas menerusi acara itu sekaligus mengekalkan penguasaan negeri itu pada kejohanan itu.

Sarawak memperolehi satu lagi pingat emas menerusi acara badminton BMST beregu selain pungutan 41 pingat perak dan 29 gangsa, Selasa.

Olahraga juga menjadi lubuk emas buat Johor apabila memperolehi 21 pingat emas menerusi acara tersebut daripada 25 pingat emas yang dimenangi negeri itu, Selasa.

Dua lagi pingat emas Johor disumbangkan menerusi acara renang dan acara petanque juga menyumbang dua pingat emas untuk Johor selain memperolehi 15 pingat perak dan 16 pingat gangsa.

Kuala Lumpur melonjak ke tangga ketiga mengambil tempat Selangor dalam kedudukan semalam apabila memperolehi 21 pingat emas manakala Selangor memperolehi 11 pingat emas.

Tuan rumah Melaka memperolehi tujuh pingat emas manakala Kedah (7), Negeri Sembilan (7), Pulau Pinang (6), Sabah (6), Pahang (6), Terengganu (5), Kelantan (5), Perak (3), Labuan (1) dan Perlis (1).

Sementara itu, masalah kekurangan penonton pada kejohanan itu masih menghantui pihak penganjur malah di venue utama di Stadium Hang Jebat hanya kehadiran kira-kira 1,000 penonton berbanding kapasiti stadium 40,000 orang penonton.

Kejohanan itu diteruskan hari ini dengan enam acara bakal melabuhkan tirainya iaitu olahraga, petanque, ping pong, powerlifting (angkat berat OKU), renang dan boling.

Temasya selama enam hari bermula Ahad lepas, menawarkan 1,750 pingat, daripada jumlah itu sebanyak 571 pingat emas, perak (571) dan 608 butir gangsa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain