suria

Malaysia Gagal Cipta Kejutan Raih Gangsa

GUANGZHOU: Pemain wanita negara gagal mencipta kejutan apabila tewas 0-2 kepada pasangan Thailand pada perlawanan menentukan pingat gangsa acara bola tampar pantai pada Sukan Asia ke-16 di sini, Selasa.

Pasangan negara Luk Teck Hua dan Beh Shun Thing, yang mencipta sejarah dengan layak ke separuh akhir pada Isnin, tewas 18-21, 14-21 kepada gandingan Sannok Juranee dan Tenpaksee Usa dalam masa 39 minit.

Pasangan Thailand itu menguasai perlawanan dengan melakukan hantaran tajam dan cekap menghantar bola mengelirukan dekat jaring.

Pada Sukan Asia lepas di Doha, Qatar, pada 2006, Luk dan Beh hanya mampu menduduki tempat ketujuh.

"Tidak siapa jangka kami boleh berada antara empat pasangan utama. Banyak pasukan kuat seperti China, Jepun, Thailand dan Kazakhstan," kata Beh.

Menurutnya layak ke separuh akhir merupakan satu pencapaian besar tetapi kesal tidak meraih pingat.

Pada perlawanan akhir, pasangan China, Xu Chen/Zhang Xi menewaskan pasangan senegara Huang Ying/Yue Yuen 21-14, 21-13 untuk merangkul emas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain