suria

Hup Wei Sekadar Lepasi 2.15 Meter

GUANGZHOU: Jaguh lompat tinggi negara Lee Hup Wei sekadar mengulangi catatannya di Doha, 2.15 meter untuk menduduki tangga kesembilan dalam acara akhir pada Sukan Asia ke-16 di Stadium Utama Aoti, di sini Selasa.

Hup Wei, pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 2.27m yang dilakukannya pada Kejohanan Olahraga Terbuka China, dua tahun lepas, memulakan percubaannya dengan lompatan setinggi 2.10m dan 2.15m.

Atlet kelahiran Dengkil, Selangor itu kemudian tidak menyertai lompatan bagi ketinggian 2.19m untuk terus mencuba ketinggian 2.23m tetapi gagal melepasi palang selepas dua kali lompatan.

"Segalanya tidak menjadi Selasa. Larian dan lonjakan untuk melepasi palang tidak menjadi. Saya tidak tahu mengapa tidak dapat memberi tumpuan kepada lompatan," katanya kepada pemberita selepas tamat acaranya.

Atlet Qatar, Mutaz Essa Barshim meraih emas dengan lompatan 2.27m, diikuti Hiromi Takahari dari Jepun (2.23m).

Gangsa dikongsi oleh tiga atlet yang melepasi 2.19m iaitu Rashidah Al Mannai (Qatar), Huang Haiqiang (China dan Vitaliy Tsykunov (Kazakhstan).

Pada Sukan Asia Doha pada 2006, Hup Wei menduduki tangga kelapan dengan catatan 2.15m manakala pada Sukan Komanwel, New Delhi, bulan lepas, beliau melakukan ketinggian 2.23m. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain