suria

Belanda, Belgium Tawar Diri Sebagai Hos Bersama Piala Dunia FIFA 2018

KUALA LUMPUR: Belanda dan Belgium, yang membida sebagai hos bersama Piala Dunia Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) 2018, hari ini menggariskan kekuatan mereka sebagai negara penganjur ketika pembentangan di depan Jawatankuasa Eksekutif Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di sini.

Pengerusi Bidaan BelandaBelgium Michael Van Praag yang mengetuai delegasi itu berkata, kedua-dua negara merupakan pilihan terbaik bagi menganjurkan kejohanan pada 2018 kerana mereka berpengalaman.

"Selain itu, kedua-dua negara mempunyai peminat yang berhemah, kemudahan, keselamatan dan kestabilan politik yang menjadikan kedua-duanya adalah yang terbaik bagi memikul tanggungjawab berkaitan.

"Persaingan adalah sengit, namun kami yakin mampu memperoleh sokongan yang diperlukan," katanya pada sidang akhbar di sini.

Turut hadir wakil kerajaan Belgium Alain Courtois dan Duta Besar dan penasihat khas Bidaan BelandaBelgium, Christian Karembeu. Rusia dan England turut membida selain Portugal dan Sepanyol, sebagai penganjur bersama kejohanan itu.

Van Praag berkata Piala Dunia ialah acara kemuncak sukan bola sepak dan berpendapat kedua-dua negara kini berada dalam keadaan terbaik untuk mempersembahkan satu kejohanan yang mengkagumkan pada 2018.

"Kami akan turut membida bagi 2022. Kami sedang melabur dan menawarkan bidaan terendah dengan kemudahan stadium dan kemudahan latihan kepada semua pasukan...kami dalam keadaan yang bagus untuk melakukan lebih daripada itu," katanya.

Beliau berkata mereka juga boleh mempertingkat kecemerlangan penganjuran Kejohanan Bola Sepak Eropah, EURO 2000, yang dihoskan Belgium dan Belanda.

"Justeru, kami optimistik dan akan membuka jalan kepada penganjuran bersama pada masa depan bagi acara bola sepak utama iaitu Piala Dunia 2018," katanya.

Beliau berkata Belanda dan Belgium memiliki 14 stadium yang mempunyai kemudahan yang diluluskan FIFA, dalam jarak berdekatan.

Antara stadium di Belgium ialah Antwerp, Bruges, Brussels, Charleroi, Genk, Ghent dan Liege manakala di Belanda, stadiumnya terletak di Amsterdam, Enschede, Eindhoven, Heerenveen dan Rotterdam.

"Kami berharap melalui lawatan singkat ke Malaysia, Asia akan menyokong penuh bidaan kami dan saya yakin jawatankuasa berkenaan akan bertindak bijak dengan memilih kami sebagai bidaan terbaik," kata Van Praag.

Keputusan akhir Jawatankuasa Eksekutif FIFA akan diumumkan pada 2 Disember di Zurich, Switzerland.

Piala Dunia 2014 akan berlangsung di Rio de Janeiro, Brazil. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain