suria

Sukan Asia: Pemain Pamer Peningkatan Dalam Permainan

GUANGZHOU: Selepas menyaksikan aksi pasukan boling lelaki menguasai blok pertama acara berpasukan pada sebelah pagi, kini giliran pasukan boling wanita mencari rentak untuk terus memberi saingan di temasya Sukan Asia di sini, Ahad.

Malaysia yang diwakili Esther Cheah, Sharon Koh, Zatil Iman Abdul Ghani, Zandra Aziela Ibrahim Hakimi dan Shalin Zulkifli menamatkan saingan blok pertama yang melibatkan tiga set di tempat ketiga dengan mengumpul 3,083 jatuhan pin.

Pendahulu blok pertama selepas tiga set permainan ialah pasukan Korea Selatan dengan 3,210 jatuhan pin dan diikuti Indonesia dengan 3,171 jatuhan pin.

Pemenang pingat emas perseorangan wanita di Sukan Asia Doha empat tahun lepas, Esther menjadi pemain terbaik Malaysia dengan mengumpul 695 jatuhan pin.

Dengan jumlah jatuhan pin yang dilakukan hari ini, Esther berjaya menempatkan dirinya dalam kelompok 16 pemain terbaik untuk layak ke acara Masters dengan berada di kedudukan ke-13 dengan mengumpul 4,317 pin.

Selain Esther, turut berada dalam kelompok melayakkan diri ke acara Masters ialah Sharon Koh yang setakat ini berada di kedudukan ketujuh dengan mengumpul 4,427 jatuhan pin.

Acara berpasukan lelaki dan wanita bersambung semula esok dengan blok kedua bagi penentuan pingat acara berkenaan.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain