suria

Sukan Asia: Mariana Selamat Jalani Pembedahan

Ketua kontinjen negara, Datuk Zolkples Embong (dua, kiri) melawat Mariana yang mengalami kecederaan di Hospital Guang Dong, Ahad.
Ketua kontinjen negara, Datuk Zolkples Embong (dua, kiri) melawat Mariana yang mengalami kecederaan di Hospital Guang Dong, Ahad.
Ketua kontinjen negara, Datuk Zolkples Embong (dua, kiri) melawat Mariana yang mengalami kecederaan di Hospital Guang Dong, Ahad.

GUANGZHOU: Pelumba berbasikal negara Mariana Mohamad selamat menjalani pembedahan tulang selangka kirinya yang patah di Hospital Guang Dong, sebuah hospital perubatan China di Bandar Universiti, di sini, Ahad.

Dr Chen Zhi Qiang melakukan pembedahan selama lebih tiga jam mulai pukul 1.20 tengah hari sebelum Mariana dipindahkan ke wad biasa pada pukul 4.30 petang.

Ketua kontinjen negara Datuk Zolkples Embong berkata pelumba berumur berusia 32 tahun itu kini berada dalam keadaan stabil dan diarah berehat untuk beberapa hari.

Mariana patah tulang selangka selepas terjatuh akibat terlanggar penghadang besi jalan pada perlumbaan ujian masa individu sejauh 35.6km semalam.

Beliau turut cedera di bahagian gusi dan mulut serta patah gigi.

Pelumba berasal dari Sabah itu, yang mempunyai dua anak berumur 9 dan 7 tahun, telah mendapat kebenaran daripada suaminya, Glenn Ford, selepas dihubungi oleh Zolkples untuk melakukan pembedahan berkenaan.

Zolkples, yang juga Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), berkata kemalangan yang menimpa Mariana adalah sesuatu yang malang dan pihak kontinjen berusaha sedaya upaya untuk membantu pelumba berkenaan agar kembali sembuh.

"Pihak perubatan kontinjen sentiasa mengawasi perkembangan Mariana di hospital sehingga dia sembuh sebelum dibawa pulang," katanya.

Pengurus skuad berbasikal, Datuk Naim Mohamad berkata pelumba itu memerlukan sekurang-kurangnya enam minggu untuk kembali pulih dan menjalani latihan ringan.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain