suria

Sukan Asia Ke-16: Empat Perak & Satu Gangsa Pada Hari Kesembilan

GUANGZHOU: Selepas dua hari kemarau pingat, kontinjen Malaysia pada Ahad menambah empat perak dan satu gangsa pada hari kesembilan, temasya Sukan Asia ke-16 di sini.

Dengan pencapaian terbaru itu, Malaysia kini menduduki tangga ke-13 dalam carta pungutan pingat dengan tiga emas, tujuh perak dan tujuh gangsa.

Tuan rumah China terus mendominasi kutipan pingat dengan 138 emas, 65 perak dan 67 gangsa diikuti Korea Selatan 52/43/57 dan Jepun di tangga ketiga dengan kutipan 29/52/55.

Bagaimanapun, kontinjen negara kecewa apabila sandaran emas yang diletakkan ke atas beregu badminton Koo Kien Keat/Tan Boon Heong tidak menjadi apabila pasangan itu gagal mempertahankan emas yang dimenanginya pada temasya Doha, Qatar pada 2006.

Kien Keat/Boon Heong tumpas kepada gandingan Indonesia, Markis Kido/Hendra Setiawan 21-16, 24-26 dan 19-21 untuk berpuas hati dengan pingat perak.

Skuad sepak takraw juga meraih perak selepas tumpas 0-2 kepada musuh tradisi Thailand dalam acara berpasukan.

Skuad pelayaran menyumbangkan dua pingat perak dan satu gangsa selepas protes yang dibangkitkan oleh hampir kesemua negara yang menyertai acara tersebut, ditolak juri.

Dengan kelajuan angin antara 3 hingga 4 knot sahaja, peserta China mendahului hampir kesemua acara dengan menggerakkan kemudi bot yang berbentuk pendayung.

Pingat perak diraih oleh Khairunnisa Mohd Affendy/Norashikin Sayed dari acara Wanita Double Handed Dinghi 420 dengan mengutip 27 mata demerit.

Pingat perak kedua datangnya dari Ahmad Latif Khan Ali Sabri Khan dari acara lelaki Dinghi Optimist dengan mengutip 30 mata demerit.

Gandingan Ku Zamil Ku Anas/Mohamad Hafizuddin Mazelan menyumbangkan gangsa dengan mengumpul 39 mata.

Esok (Isnin), tumpuan terarah kepada dua atlet negara bergelar Datuk untuk menyumbangkan pingat kepada negara.

Pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei akan bertemu juara Olimpik, Lin Dan dari China dalam perlawanan perseorangan lelaki.

Chong Wei sebelum itu menewaskan Chen Jin 14-21, 21-15, 21-7 dalam pertemuan separuh akhir sementara Lin Dan menumpaskan pemain Korea Selatan Park Sunghwan 21-14, 21-14.

Sementara itu, Datuk Nicol Ann David akan bertemu pemain Hong Kong, Annie Au Wing Chi dari Hong Kong dalam perseorangan akhir wanita sementara seorang lagi pemain negara Mohd Azlan Iskandar akan menentang pemain Pakistan, Aamir Atlas Khan dalam perlawanan akhir perseorangan lelaki. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain