suria

Skuad Pelayaran Raih Dua Perak, Satu Gangsa

GUANGZHOU: Protes oleh hampir kesemua negara peserta agar juri membatalkan kemenangan peserta China kerana menggunakan kemudi yang berbentuk pengayuh tidak dilayan, menyebabkan Malaysia hanya meraih dua perak dan satu gangsa dari acara pelayaran pada Sukan Asia ke-16 di sini, Sabtu.

Pengurus skuad pelayaran negara, Mohd Affendy Abdullah berkata kelajuan angin sekitar 3 hingga 4 knot pada hari terakhir perlumbaan menyebabkan ramai peserta tidak dapat mencatat masa yang baik.

"Sebaliknya peserta tuan rumah menggunakan kemudi yang berbentuk pendayung menyebabkan bot mereka bergerak lebih laju bila kemudi itu digerakkan walaupun ketiadaan angin," katanya ketika dihubungi Bernama di Pusat Sukan Air Shanwei yang terletak hampir lima jam perjalanan darat dari sini.

Pingat perak untuk Malaysia dihadiahkan Khairunnisa Mohd Affendy/Norashikin Sayed dalam acara Wanita Double Handed Dinghi 420 dengan mengutip 27 mata penalti.

Peserta Singapura Rachel Lee Qing Sin, Cecilia Low mengutip emas dengan mengumpul 12 mata dan peserta China Wei Mengxi dan Goa Haiyan mendapat gangsa dengan 32 mata penalti.

Dalam acara pelayaran, peserta yang menerima mata paling sedikit akan muncul juara.

Pingat perak kedua buat Malaysia disumbangkan oleh Ahmad Latif Khan Ali Sabri Khan dari acara Lelaki Dinghi Optimist dengan mengutip 30 mata.

Peserta China Zhang Xiaotian (CHN) meraih emas (27.0) sementara gangsa oleh peserta Singapura Ryan Lo Jun Han (SIN) (34.0) Gandingan Ku Zamil Ku Anas/Mohamad Hafizuddin Mazelan menyumbangkan gangsa dengan mengumpul 39 mata.

Emas milik peserta Singapura Liu Xiamen Justin/Cleng Feng Yuan (17.5) dan pasangan Korea Selatan Lee Sangmin/Yang Hoyoeb mendapat perak (34.2). - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain