suria

Nicol Layak Ke Final, Beng Hee Terkandas

GUANGZHOU: Ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David akan berdepan dengan pemain Hong Kong Annie Au pada perlawanan akhir acara perseorangan pada Sukan Asia ke-16 di sini.

Nicol, pemain nombor satu dunia, hanya mengambil masa selama 25 minit untuk melangkah ke final selepas mengenepikan rakan sepasukan Low Wee Wern 11-9, 11-3 dan 11-4 pada saingan separuh akhir di Gimnasium Bandar Sukan Asia di sini, Sabtu.

"Saya fikir Wee Wern tidak berada dalam keadaan fizikal yang baik sekali pada Sabtu. Namun saya bangga dengan kemenangan ini dan perlawanan akhir Ahad bukan mudah bagi diri saya," kata Nicol.

Walaupun tumpas kepada jaguh dunia itu, Wee Wern bangga dengan pencapaian pingat gangsa untuk negara.

"Ini adalah penampilan sulung saya dalam temasya Sukan Asia dan bangga dapat menghadiahkan pingat gangsa untuk Malaysia. Memang saya tidak bermain dengan baik sekali tetapi keputusan ini adalah baik bagi diri saya serta negara," kata Wee Wern.

Dalam satu lagi perlawanan separuh akhir, Annie Au mengambil masa selama 40 minit untuk menewaskan rakan sepasukan Chan Ho Ling dengan keputusan 11-7, 2-11, 11-9 dan 11-9.

Sementara itu, dalam acara separuh akhir perseorangan lelaki, harapan Malaysia untuk melihat dua pemain utama negara beraksi dalam perlawanan akhir tidak membuahkan hasil apabila juara bertahan Ong Beng Hee tersingkir.

Beng Hee tewas kepada pencabar muda berusia 20 tahun, Aamir Atlas Khan dari Pakistan, 5-11, 8-11, 11-9 dan 13-15 dalam masa 54 minit.

Aamir akan menentang pemain negara Mohd Azlan Iskandar pada perlawanan akhir.

Mohd Azlan layak ke final sebelum menumpaskan pemain India Saurav Ghosal 11-5, 6-11, 11-5 dan 12-10 pada perlawanan yang memakan masa 68 minit. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain