suria

Nicol, Wee Wern Mara Ke Suku Akhir Skuasy Sukan Asia

GUANGZHOU: Pemain skuasy wanita nombor satu dunia, Datuk Nicol Ann David dan Low Wee Wern melangkah mara ke peringkat suku akhir dalam acara perseorangan wanita skuasy kejohanan Sukan Asia ke-16 di sini Khamis.

Selepas memenangi kejohanan Qatar Classic minggu lepas, Nicol, 26, mengambil masa hanya 26 minit untuk menewakan pemain Korea Selatan Park Eun Ok, 11-3, 11-7 dan 11-6 untuk mara ke peringkat suku akhir.

"Park bermain dengan baik berbanding sebelum ini, persembahannya semakin mantap, dan saya terpaksa bekerja keras untuk mengutip mata. Ia perlawanan yang cukup baik," kata Nicol kepada pemberita selepas menamatkan perlawanan di Asian Games Town Gymnasium, Khamis.

Dalam pertembungan suku akhir nanti beliau akan berentap dengan pemain dari India Dipika Rebecca Pallikal, yang terdahulu menewaskan pemain tuan rumah Gu Jinyue dengan straight set 11-4, 12-10 dan 11-1 dalam masa 23 minit.

Dalam pertemuan di Terbuka Chennai Mac lepas, Nicol menewaskan pemain India itu 3-0.

Sementara itu Wee Wern, yang muncul buat kali pertama dalam Sukan Asia, menewaskan pemain Jepun Chinatsu Matsui straight set 12-10, 11-4 dan 11-8 dalam masa 30 minit.

"Ini merupakan kemunculan sulung saya dalam Sukan Asia, dan bermain dalam permainan pertama amat sukar buat saya. Mulanya saya memang gugup, tapi akhirnya saya berjaya membuat banyak pukulan yang baik," katanya.

"Kali terakhir saya bermain dengan Matsui ialah dua tahun lepas, dan ia merupakan pertarungan yang sengit. Saya gembira dengan keputusan hari ini," katanya.

Beliau akan berentap dengan seorang lagi pemain India, Joshna Chinappa dalam satu lagi pertembungan peringkat suku akhir.

"Saya tidak bertembung dengan Joshna sejak lebih kurang setahun, dalam pertemuan tiga kali dengannya sebelum ini saya tewas dalam setiap pertemuan itu, jadi saya harap esok akan jadi kemenangan pertama saya dalam menentangnya," kata Wee Wern.

Joshna menempah tempat ke perlawanan suku akhir selepas menewaskan pemain Filipina Jemyca Aribado dalam straight set 11-6, 11-7 dan 11-4 dalam masa 19 minit. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain