suria

Nicol Jumpa Wee Wern Di Peringkat Separuh Akhir

GUANGZHOU: Ratu skuasy Malaysia dan pemain nombor satu dunia, Datuk Nicol Ann David pada Jumaat mengenepikan pemain India Dipika Pallikal untuk mara ke peringkat separuh akhir acara perseorangan wanita skuasy kejohanan Sukan Asia ke-16 di sini bagi menentang rakan senegara Low Wee Wern.

Nicol, yang merupakan pilihan utama pertandingan, mengambil masa 38 minit untuk menewaskan Dipika pada perlawanan suku akhir yang berlangsung di Asian Games Town Gimnasium.

Nicol, 27, mendominasi set pertama dengan 11-8 namun Dipika memberikan tentangan hebat dan berjaya menyamakan kedudukan pada set kedua dengan 11-7.

Bagaimanapun, Nicol memperoleh rentaknya semula untuk memenangi set berikutnya dengan 11-6 dan 11-4.

"Saya tahu saya perlu bermain bersungguh-sungguh pada set ketiga dan tidak memberi peluang kepada pukulannya, dan dia mula melakukan kesilapan. Saya dapat mengawal perasaan dengan lebih baik pada set ketiga dan keempat.

"Saya tahu dia pasti memberikan tentangan yang hebat dan pada mulanya, permainan saya kehilangan sedikit rentak dan dia pula terus melakukan serangan," kata Nicol kepada pemberita Malaysia selepas menamatkan perlawanan itu.

Sebagai pemegang pingat emas bagi acara itu, Nicol berkata bukan mudah bermain di Sukan Asia.

"Ia bukan mudah dan anda perlu tahu tahap permainan semakin hebat, dan saya selalunya terpaksa meningkatkan tahap permainan saya. Empat tahun lalu berbeza dengan keadaan sekarang," katanya.

Dalam satu lagi perlawanan suku akhir, pemain nombor dua Malaysia, Wee Wern terpaksa berdepan pertarungan sengit selama 61 minit ketika menentang Joshna Chinappa, pemain India yang sedang meningkat naik, sebelum muncul pemenang dengan 7-11, 9-11, 11-8, 11-9 dan 11-3 untuk mara ke peringkat separuh akhir.

"Saya mempunyai permulaan yang baik dalam set kelima dan ia membantu saya memenangi perlawanan ini. Ia juga merupakan satu perlawanan yang bagus untuk saya kerana saya berjaya mengalahkannya buat kali pertama," kata pemain berusia 20 tahun dan berasal dari Pulau Pinang itu.

Mengenai pertemuannya dengan Nicol pada perlawanan separuh akhir, beliau berkata ia bagus untuk kontinjen Malaysia kerana seorang peserta negara akan mara ke peringkat akhir.

"Nicol merupakan sahabat yang baik dan telah membantu saya dalam karier skuasy. Memang bagus dapat bermain menentangnya," kata Wee Wern.

Kali terakhir Wee Wern dan Nicol bertemu ialah pada perlawanan suku akhir Kejohanan Terbuka Dunia di Sharm El Sheik, Mesir pada September lepas, yang menyaksikan Nicol memenangi kejuaraan dunia kelimanya.

Dalam perlawanan suku akhir lain, Chan Ho Ling dari Hong Kong menewaskan pemain Korea Selatan Song Sun Mi dengan 11-6, 11-5 dan 11-2, manakala rakan senegaranya, Annie Au mengalahkan pemain Jepun Misaki Kobayashi dengan 11-3, 11-8, 10-12 dan 11-6.

Perlawanan suku akhir lelaki akan berlangsung petang ini.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain