suria

Sukan Asia: Beng Hee, Azlan Mara Ke Suku Akhir Acara Skuasy

GUANGZHOU: Pemain skuasy terkemuka Malaysia Mohd Azlan Iskandar dan Ong Beng Hee melepasi halangan pertama mereka hari ini untuk melangkah ke suku akhir acara skuasy perseorangan lelaki Sukan Asia ke-16 di sini malam Khamis.

Mohd Azlan, yang mendapat 'bye' dalam perlawanan pusingan pertama, mengalahkan pemain Korea Selatan Lee Nyeon Ho dalam perlawanan straight set 11-1, 11-9 dan 11-7 dalam masa 34 minit.

Beliau akan berdepan Lee Ho Yin dari Hong Kong dalam perlawanan suku akhir Jumaat yang akan diadakan di Gimnasium Bandar Sukan Asia.

Ho Yin menempah tempat ke suku akhir selepas mengalahkan pemain China Meng Xiaomin dengan catatan 11-3, 11-3, 11-3 dalam masa 23 minit.

Sementara itu, Beng Hee turut mendapat laluan mudah ke suku akhir setelah mengetepikan lawannya dari Jepun Yuta Fukui dengan 11-2, 11-7 dan 11-5 dalam hanya 19 minit.

Dalam perlawanan suku akhir, Beng Hee, yang mempertahankan pingat emas Sukan Asia, akan berdepan Abdullah Almezayen dari Kuwait, yang akan beraksi mewakili Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

Kesemua atlet Kuwait yang mengambil bahagian dalam Sukan Asia yang sedang berlangsung itu beraksi sebagai mewakili IOC memandangkan jawatankuasa Olimpik negara mereka telah diharamkan oleh Jawatankuasa Olimpik Asia (OCA).

Terdahulu, Abdullah menewaskan Lee Seung Joon dari Korea Selatan 11-2, 11-7 dan 11-3, dalam permainan yang berlangsung 24 minit. - BERNAMA

Artikel Lain