suria

Skuad Renang Negara Masih Hambar

GUANGZHOU: Perenang negara di Sukan Asia ke-16 di sini masih belum mempamerkan aksi memberangsangkan selepas lima hari acara tersebut berlangsung.

Walaupun tiba di Guangzhou tanpa sebarang sasaran pingat, namun semua perenang menyasarkan untuk memperbaiki catatan masa peribadi masing-masing, selain mencipta rekod baru kebangsaan.

Di peringkat saringan pada hari kelima pada Rabu, perenang Sabah Chui Lai Kwan muncul sebagai perenang negara terbaik apabila hampir menyamai rekod kebangsaan 57.59 saat milik beliau dalam acara 100 meter gaya bebas wanita, yang dilakukan di Sukan SEA Laos di Vientien, tahun lepas.

Pada saringan tersebut, beliau hanya terlewat 0.39 saat.

Semalam, dalam acara 50 meter gaya bebas wanita akhir, Lai Kwan hampir menyamai rekod kebangsaan yang dimilikinya, yang dilakukan pada temasya Sukan Komanwel New Delhi Oktober lepas, apabila mencatat masa 26.08 saat, iaitu terlewat 0.05 saat.

Seorang lagi perenang dalam acara yang sama, Leung Chii Lin sekadar mencatat masa 58.92s.

Sementara itu, dalam kategori lelaki, Daniel Bego dan Foo Jian Beng juga gagal melangkah ke peringkat akhir apabila masing-masing mencatat masa 51.22s dan 51.71s.

Rekod kebangsaan acara 100 meter gaya bebas lelaki dipegang Daniel dengan catatan masa 50.16s.

Turut terlepas peluang beraksi di peringkat akhir ialah Christina Loh dan Erika Kong dalam acara 200 meter kuak dada wanita apabila kedua-duanya sekadar mencatat masa 2:40.54s dan 2:40.76s.

Selain itu, Ian James Barr dan Chan Kah Yan mengalami nasib serupa.

Ian hanya berjaya mencatat 2:08.46s dalam acara 200 meter rampaian individu lelaki berbanding rekod kebangsaan milik beliau yang dilakukan pada Sukan Komanwel lepas dengan catatan masa 2:07.22s.

Sementara itu, Kah Yah hanya mencatat 1:05.27s dalam acara 100 meter kuak lentang berbanding rekod kebangsaan 1:03.91s milik Chui Lai Kwan iaitu 1:03.91s yang dicipta pada Sukan SEA Laos tahun lepas.

Pada saingan Rabu, hanya Khoo Cai Lin akan beraksi pada sebelah malam dalam acara kegemarannya iaitu 800 meter gaya bebas wanita.

Cai Lin layak ke peringkat akhir acara berkenaan secara merit dengan rekod kebangsaan miliknya iaitu 8:45.36s yang dicatat di Sukan SEA Laos. - BERNAMA

Artikel Lain