suria

M'sia Bimbang Taktik Thailand - Pengurus Sepak Takraw

GUANGZHOU: Malaysia bimbang dengan percaturan taktikal oleh Thailand jika juara bertahan itu memilih untuk sengaja tewas kepada Korea Selatan pada perlawanan penutup acara sepak takraw berpasukan peringkat kumpulan pada Sukan Asia ke-16 di sini esok.

Perlawanan itu akan menentukan kedudukan Kumpulan A dan sekiranya Korea Selatan menepati andaian Malaysia, mereka akan muncul juara dan Thailand akan menjadi naib juara kumpulan tersebut.

Malaysia dijangka mengatasi India esok untuk menjuarai Kumpulan B sebelum bertemu naib juara kumpulan A dalam saingan separuh akhir.

Sekiranya Korea Selatan menjuarai Kumpulan A, maka mereka bakal berdepan dengan naib juara kumpulan B antara Jepun atau China pada separuh akhir.

Malaysia mungkin terperangkap dengan taktik kotor Thailand kerana negara jiran itu yakin dapat menyingkirkan Malaysia di saingan separuh akhir.

Jika Thailand menewaskan Malaysia dan mengharapkan Korea Selatan mampu menewaskan sama ada Jepun atau China di separuh akhir, maka kedua-dua negara itu dapat bertemu pada final nanti.

Pengurus pasukan Malaysia Datuk Awang Sham Amit percaya Thailand akan memberi laluan mudah kepada Korea Selatan berdasarkan hubungan rapat antara kedua-dua negara itu.

"Malah pasukan Korea Selatan dibimbing oleh jurulatih dari Thailand," katanya kepada Bernama selepas Malaysia mengalahkan Jepun 3-0 pada perlawanan kumpulan di sini hari ini.

Regu pertama Noor Azman Abdul Hamid, Farhan Adam, Nor Shahruddin Mad Ghani menewaskan Yoshitaka Iida, Jun Motohashi, Takeshima 21-17, 21-13 sementara regu kedua yang dianggotai Mohd Futura Abd Ghani, Mohd Mormaziman Ahmad dan Arif Ramli mengalahkan Tseiya Takano, Susumu Teramoto and Masahiro Yamada 21-13, 21-10.

Regu ketiga Mohd Fafizie Manap, Ahmad Sufi Mohamed Hashim dan Mohd Azman Nasruddin menjinakkan Masanori Hayashi, Unichi Matsuda and Tomoyoki Nakatsuka 21-16, 25-23.

Mengenai perlawanan menentang India, Awang Sham berkata Malaysia tidak akan ambil mudah dan akan bermain berhabis-habisan untuk meraih kemenangan.

"Selepas itu, terpulanglah jika bertemu sama ada Thailand atau Korea Selatan di separuh akhir. Semua pasukan sama saja dan perlu ditewaskan untuk menjadi juara," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain