suria

Melaka Sasar 24 Pingat Emas Pada Sukan Paralimpiad Ke-15

MELAKA: Melaka mensasarkan 24 pingat emas, 24 perak dan 26 gangsa pada temasya Sukan Paralimpiad Ke-15 yang akan berlangsung di negeri ini bermula 21 hingga 26 November ini.

Presiden Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kelainan Upaya (OKU) Negeri Melaka (Pesron) Tuah Atan berkata Melaka yakin merangkul pingat emas antaranya dalam acara olahraga, badminton, catur, renang, ping pong, boling padang, tenpin boling, bola keranjang berkerusi roda dan angkat berat.

"Dengan diperkuatkan ramai atlet paralimpik kebangsaan, saya yakin Melaka akan memperbaiki kedudukan pada kejohanan 2008 di mana Melaka memperoleh 11 pingat emas, enam perak dan 20 gangsa," katanya kepada Bernama semasa dihubungi di sini, Selasa.

Antara atlet kontinjen Melaka yang mewakili skuad kebangsaan ialah Abu Bakar Nyat (ten pin bowling), Mohd Azmeen Kamarulzaman (renang), Mohd Nizam Niam Abdullah dan Krishnakumar a/l Haridas (olahraga), Koh Zhi Liang (Ping Pong), Jasmi Md Tegol, Yau Tiam Ann, Loi Lang Yean dan Bakri Omar (badminton), Mohd Kelana Yusop dan Aqilah Syahira Ahmad (catur).

Sukan Paralimpiad Ke-15 yang mempertandingkan 1,133 pingat itu akan disertai 1,376 atlet dan 475 pegawai daripada 15 kontinjen dari seluruh negara.

Temasya sukan dibahagikan kepada enam kategori kecacatan iaitu orang kurang upaya (OKU) anggota, OKU penglihatan, spastik, OKU akal, OKU pendengaran dan orang kerdil. - BERNAMA

Artikel Berikut

Ancelotti Kecewa

Artikel Lain