suria

Kontroversi Di Hari Pertama Acara Sepak Takraw

GUANGZHOU: Acara Sepak takraw yang bermula hari ini mencetuskan kontroversi akibat campurtangan Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Guangzhou (GAGOG) dalam pemilihan pengadil dan penjaga garisan sehingga pasukan negara memboikot acara tersebut selama lebih sejam.

Pasukan Malaysia yang menentang tuan rumah China dalam acara Berpasukan Lelaki terkejut bila mendapati kesemua pengadil dan penjaga garisan bagi perlawanan hari ini, terdiri daripada warga tuan rumah.

"Kami mendapat tahu, mereka bukannya pengadil dan penjaga garisan yang diiktiraf oleh Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf).

"Malah wakil Istaf mendakwa GAGOC cuba mengambil alih barisan pengadilan hari ini," kata pengurus pasukan Malaysia Datuk Awangsham Amit kepada pemberita, di sini. Berikutan bantahan Malaysia itu, katanya, GAGOC akhirnya bersetuju menyerahkan kuasa memilih pengadil kepada Istaf.

Namun kontroversi di gelanggang sepak takraw berterusan - kali ini selepas regu kedua negara tewas kepada regu China.

Regu pertama Malaysia Noor Azman Abdul Hamid, Farhan Adam dan Norshahruddin Mad Ghani memberikan mata pertama negara dengan menewaskan Ding Yuting, Jin Jie dan Li Huanhuan 21-11, 21-5.

Namun regu kedua yang dibarisi Mohd Futura Abd Ghani, Mohamad Syazwan Husin dan Ariff Ramli tewas mengejut 21-23, 21-17, 14-16 kepada Ge Yuleng, Wang Jian dan Yang Jiapeng.

Awangsham berkata regu kedua negara tidak sepatutnya tewas kepada China yang bukannya tandingan pasukan negara.

"Jika tewas kepada Thailand, kita akur tetapi bukan kepada China yang terlalu baru dalam sukan ini," katanya.

Regu ketiga negara yang dianggotai oleh Muhammad Zulkarnain Mohamaed Arif, Ahmad Sufi Mohamed Hashim, Muhd Azman Nasruddin bagaimanapun menyelamatkan maruah negara dengan kemenangan 21-19, 21-18 ke atas Wang Gang, Xu Xu Minghi dan Zhang linge.

Esok, Malaysia akan bertemu Jepun. -BERNAMA

Artikel Berikut

Ancelotti Kecewa

Artikel Lain