suria

Pasukan Dressage Sumbang Pingat Gangsa Ketiga Malaysia

GUANGZHOU: Skuad ekuestrian negara gagal menyamai pencapaian empat tahun lepas apabila sekadar merangkul pingat gangsa pada temasya Sukan Asia ke-16 dalam acara Dressage Berpasukan.

Skuad Dressage negara yang diwakili Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil dengan kudanya 'Wup', Quzandria Nur Mahamad Fathil (Handsome), Putri Alia Soraya Ahmad Suhaimi (Odurin) dan Diani Lee Cheng Ni (Stravinsky) secara keseluruhan mengumpul 65.111 peratus untuk pingat gangsa.

Pada pertandingangan yang berlangsung di Pusat Ekuestrian Guangzhou, di sini Ahad, Mohd Qabil Ambak meraih peratusan paling tinggi dalam pasukan Malaysia dengan mengutip 66.111 peratus.

"Pada saya, pada pertandingan tadi kami boleh melakukan yang lebih baik. Bagaimanapun, saya gembira dengan pingat gangsa. "Kita ada buat sedikit kesilapan memandangkan semua kuda yang ditunggang adalah kuda baru. Ini adalah pertandingan utama pertama bagi kuda-kuda itu," kata Mohd Qabil Ambak ketika ditemui selepas pertandingan.

Mohd Qabil Ambak yang membuat penampilan keempat di Sukan Asia, berkata beliau hanya berlatih bersama 'Wup' selama dua bulan di Belanda sebelum menyertai Sukan Asia di sini.

"Walaupun masa terlalu singkat tetapi saya sedang dalam proses mengenalinya. Saya harap esok keadaan akan menjadi lebih baik. Masa dalam pertandingan tadi, Wup ada buat sedikit kesilapan apabila terkejut dengar satu bunyi yang buat langkahnya sedikit goyah," katanya.

Pada penampilan empat tahun lepas di Doha, Qatar, pasukan Dressage negara yang dianggotai oleh ekuin yang sama berjaya meraih pingat perak, manakala Mohd Qabil Ambak meraih pingat gangsa dalam acara Dressage individu.

Pada penampilan pertama beliau di Sukan Asia Bangkok pada 1998, Mohd Qabil Ambak turut membantu pasukan Dressage negara meraih pingat perak, dan pada temasya Sukan Asia Busan, Korea Selatan beliau memenangi pingat gangsa dalam acara Showjumping berpasukan.

"Acara Dressage ini adalah subjektif, bagaimanapun jumlah markah dengan pasukan adalah agak rapat juga. Saya harap, kami akan dapat memperbaiki kedudukan dalam acara individu pula," katanya.

Esok, beliau akan memulakan saingan dalam acara individu pula.

Turut melayakkan diri ke acara individu ialah adik beliau, Quzandria Nur dan Diani Lee Cheng Ni selepas masing-masing mencatat 65.722 dan 63.500 peratus hari ini.

Pingat emas acara Dressage Berpasukan di Sukan Asia Guangzhou dimenangi pasukan dari Korea Selatan dengan 65.743 peratus, manakala perak menjadi milik pasukan tuan rumah, China dengan 65.593 peratus. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Keputusan Liga Perdana Inggeris

Artikel Lain