suria

Sukan Asia: Pasukan Badminton Lelaki Negara Terkeluar Awal

GUANGZHOU: Pasukan badminton lelaki negara tewas 2-3 kepada Thailand di peringkat sukur akhir acara badminton lelaki di Sukan Asia ke-16 di Gimnasium Tianhe, Sabtu.

Kekalahan itu bermakna pasukan negara gagal mempertahankan pingat gangsa yang dipungut mereka di Doha empat tahun lalu.

Malaysia menerima bye di pusingan pertama. Pemain perseorangan nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei yang demam sejak Selasa lalu, dijinakkan jaguh Thailand, Boonsak Ponsana dengan mata 21-19, 10-21, 19-21.

Pasangan bergu nombor satu dunia pula Koo Kien Keat/Tan Boon Heong berjaya menyamakan kedudukan 1-1 apabila menewaskan pasangan Sudket Prapakamol/Songphon Anugritayawon 21-12, 21-13 sementara Muhd Hafiz Hashim menyumbang satu lagi mata untuk Malaysia mendahului 2-1 dengan menewaskan Tanongsak Saensomboonsuk 14-21, 21-14, 21-18.

Namun negara Gajah Putih itu memungut dua mata berharga daripada pasangan Jongjit Maneepong/Isara Bodin yang menewaskan Mak Hee Chun/Tan Wee Kiong 21-23, 21-12, 21-16 sementara seorang lagi pemain perseorangannya Suppanyu Avihingsanon memberi mata kemenangan Thailand apabila menewaskan Liew Darren 21-16, 21-16.

Jurulatih perseorangan negara, Misbun Sidek ternyata hampa dengan keputusan tersebut lebih-lebih lagi apabila anak didiknya Chong Wei tewas kepada Boonsak.

"Pada awalnya saya fikir Chong Wei akan menang mudah ke atas Boonsak sementara Muhd Hafiz akan kalah," katanya kepada pemberita kemudiannya.

Di Doha, pasukan lelaki negara yang diwakili Chong Wei, Muhd Hafiz, Wong Choon Hann, pasangan Koo Kien Keat/Tan Boon Heong, Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari/Lin Woon Fui memungut gangsa selepas tewas 1-3 kepada pasukan Korea Selatan di peringkat separuh akhir.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain