suria

Skuad Hoki Wanita Mahu Tebus Kegagalan Di Sukan Komanwel

GUANGZHOU: Selepas gagal menyerlah pada temasya Sukan Komanwel di New Delhi, India Oktober lepas, skuad hoki wanita kini bertekad untuk memperbaiki prestasi mereka di temasya Sukan Asia ke-16 di sini.

Jurulatih skuad hoki wanita Yahya Atan berkata selepas mengharungi beberapa perlawanan di Sukan Komanwel, beliau sudah mengenal pasti beberapa kelemahan pasukan.

"Antara kelemahan yang dikenal pasti adalah di bahagian serangan. Pasukan negara tidak mempunyai penyudah yang baik," katanya pada persidangan akhbar bersama wartawan Malaysia di perkampungan sukan di sini, Khamis.

Beliau berkata pemain-pemain didapati tidak mempunyai penyudah yang baik khususnya semasa mengambil pukulan sudut penalti atau cubaan menjaringkan gol padang.

Katanya beliau mahukan supaya para pemain bermain secara bertahan, dan menurutnya bahagian pertahanan dilihat mempunyai sedikit kekuatan, di mana sesekali mereka akan melakukan serangan balas yang mantap.

Menurut beliau selepas kembali dari Sukan Komanwel, skuad hoki wanita menjalani latihan bersama dengan pasukan hoki lelaki dari Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Sekolah Sukan Bukit Jalil.

"Selain itu, pemain-pemain juga menjalani ujian agility dan kebanyakan mereka menunjukkan peningkatan, tetapi kami tidak buat semua ujian kecerdasan," katanya.

Mengenai sasaran skuad hoki wanita negara di Sukan Asia kali ini, Yahya berkata mereka akan cuba untuk memperbaiki ranking Asia dan Sukan Asia.

Malaysia kini berada di ranking kelima Asia selepas China, Korea Selatan, Jepun dan India, manakala pencapaian di Sukan Asia pula menyaksikan skuad negara berada di kedudukan kelima, pada temasya Sukan Asia di Doha, Qatar pada 2006.

Skuad hoki wanita negara akan membuka saingan mereka di Sukan Asia Guangzhou dengan menentang India Sabtu ini.

Sebagai latihan penyesuaian di sini, mereka akan mengadakan perlawanan persahabatan bersama pasukan tuan rumah, Khamis. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wilkins Tinggalkan Chelsea

Artikel Berikut

Artikel Lain