suria

Skuad Catur Mahu Buktikan Kebolehan Di Sukan Asia

KUALA LUMPUR: Pertama kali digolongkan sebagai atlet kategori A, skuad catur negara berazam untuk membuktikan kebolehan dengan membawa pulang pingat pada Sukan Asia yang akan bermula esok hingga 27 November ini.

Timbalan Presiden Persekutuan Catur Malaysia (MCF) Ibrahim Abu Bakar berkata cabaran Malaysia di kejohanan itu digalas oleh seorang pemain catur lelaki Mok Tze Meng dan dua orang pemain catur wanita Alia Anin Azwa Bakri dan Nur Nabila Azman Hisham.

Beliau berkata Malaysia sebenarnya mempunyai pemain-pemain catur yang cukup handal, yang terbukti mampu mengalahkan jaguh-jaguh catur antarabangsa.

"Walaupun ranking mereka tidak setanding pemain-pemain dari China dan India, saya percaya dengan usaha dan doa, mereka mampu mencapai prestasi membanggakan," katanya kepada wartawan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini Khamis.

Pasukan catur negara bersama-sama skuad boling, menembak, hoki lelaki, kriket, sepak takraw dan snuker bertolak ke Guangzhou, China dari KLIA pagi tadi untuk menyertai temasya sukan kedua terbesar dunia itu.

Meskipun ke Guangzhou tanpa pemain nombor satu negara Mas Hafizulhilmi Agus Abdul Rahman, Ibrahim yakin anak buahnya masih mampu memberi saingan dalam acara individu.

"Mas Hafizulhilmi terpaksa menarik diri kerana demam denggi. Beliau kini dirawat di hospital di Kota Bharu, sejak Jumaat minggu lepas," katanya.

Menurut Ibrahim, kekangan dana dan penajaan untuk mengikuti lebih banyak kejohanan catur di luar negara menyukarkan atlet catur tempatan meningkatkan kedudukan mereka.

"Jika kami dapat bawa pulang pingat pada Sukan Asia ini, diharapkan ia dapat membuka mata pihak-pihak tertentu tentang potensi sukan catur negara," katanya.

Sementara itu, Alia Anin Azwa yang pertama kali beraksi dalam Sukan Asia ketika ditemui berkata beliau amat berharap dapat menyumbangkan pingat untuk negara.

"Kalau main dengan 'relax', percaya pada diri, Insya-Allah boleh capai kejayaan. Saya akan cuba yang terbaik," kata pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Muzaffar Shah Melaka itu.

Alia Anin Azwa dianugerahkan gelaran 'woman fidemaster' setelah memperoleh tujuh mata daripada 11 perlawanan pada Kejohanan 'World Chess Olympiad' di Siberia, Rusia bulan lalu.

Beliau dan rakan-rakan yang memulakan saingan Sabtu ini, dijangka menghadapi tentangan hebat daripada atlet tuan rumah, India, Vietnam dan Filipina. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wilkins Tinggalkan Chelsea

Artikel Berikut

Artikel Lain