suria

Kelantan Minta Annuar Jangan Lepaskan Jawatan Di Kafa

KOTA BAHARU: Kerajaan Kelantan meminta Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa agar tidak melepaskan jawatannya itu demi kebaikan sukan itu di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri Ab Fattah Mahmood berkata kepimpinan Annuar masih diperlukan oleh Kafa dan seluruh peminat bola sepak negeri itu selepas berjaya membawa kejayaan untuk pasukan bola sepak Kelantan.

"Saya secara peribadi meminta Tan Sri Annuar (Musa) tidak melepaskan jawatannya kerana banyak lagi yang perlu dilakukan beliau untuk kejayaan pasukan bola sepak.

"Kami di peringkat negeri sentiasa memberikan bantuan dan galakan kepada Tan Sri dan Kafa untuk membangunkan sukan ini ke peringkat yang lebih jauh lagi," katanya kepada pemberita selepas persidangan Dewan Undangan Negeri di Kota Darul Naim di sini, Rabu.

Annuar dalam reaksinya selepas Kelantan muncul juara Piala Malaysia setelah menewaskan Negeri Sembilan 2-1 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 30 Okt lepas menyatakan cadangannya untuk melepaskan jawatan di Kafa bagi membolehkan beliau menjalankan tanggungjawabnya yang lebih mencabar sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Mengulas mengenai arahan FAM yang meminta agar kerajaan negeri menaiktaraf Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Ab Fattah memberi jaminan perkara itu akan diselesaikan dalam tempoh dua bulan lagi.

"Kita akan ambil perhatian arahan FAM itu dan dalam tempoh dua bulan ini iaitu ketika stadium tidak digunakan ketika tengkujuh, stadium ini insyaAllah akan berubah wajah," katanya.

Annuar sebelum ini juga meminta kerajaan negeri melalui Perbadanan Stadium Kelantan menaiktaraf stadium berkenaan yang begitu daif bagi membolehkan perlawanan peringkat kebangsaan seperti Piala Malaysia dapat diadakan.

Menyentuh mengenai insentif wang tunai yang akan dibayar kepada pemain Kelantan yang menjuarai Piala Malaysia, Ab Fattah berkata perkara itu akan diumum Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selepas kembali daripada menunaikan haji tidak lama lagi.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Wilkins Tinggalkan Chelsea

Artikel Berikut

Artikel Lain