suria

Murray Masih Anak Emak - Becker

LAGENDA tenis dunia, Boris Becker mendakwa salah satu sebab mengapa Andy Murray (gambar) tidak pernah meraih gelaran Grand Slam adalah kerana hubungan akrab dengan ibunya, Judy Murray.

Judy yang juga jurulatih tenis dikatakan selalu berada bersama Murray dalam setiap kejohanan dan Becker percaya ia merupakan satu pandangan yang tidak matang kepada pemain itu.

“Dalam pada itu, Murray kelihatan lebih muda daripada umurnya, 23 tahun. Seperti kelihatan dia masih berada di bawah ketiak ibunya.

“Situasi itu yang sepatutnya kamu tidak lakukan pada umur 23 tahun kerana itu yang kamu lakukan pada umur 19 atau 20 tahun. Mungkin kematangan dia agak lambat dan itulah yang terjadi dalam permainannya.

“Di gelanggang kamu adalah diri kamu sendiri. Kamu tidak boleh bertanya kepada sesiapa mengenai mata penting dan apa yang perlu dilakukan.

“Kamu perlu menyakinkan diri sendiri di atas apa yang kamu lakukan. Itulah yang dipanggil matang. Saya rasakan dia belum ada sikap matang yang cukup untuk membolehkan dia membuat keputusan dalam perlawanan Grand Slam,” katanya dalam satu kenyataan, Rabu.

Becker yang memenangi gelaran Wimbledon pada umur 17 tahun berkata, masih ada ruang lagi untuk Murray memenangi hadiah terbesar ini.

“Saya fikir dia sudah merapati gelaran itu dan suatu hari nanti dia akan melaluinya.

“Dia seperti pasukan Arsenal yang bermain bagus namun tidak pernah memenangi trofi kejuaraan dan peminat-peminat mereka tetap sabar memanti saat itu. Namun berbalik kepada taktik, Wenger dan Murray akan melakukan itu,” katanya.

Artikel Lain