suria

Pengadil Bola Sepak Tempatan Paling Miskin Di Padang - Astaman

KUALA LUMPUR: Banyak pihak merungut bahawa mutu pengadilan bola sepak negara semakin merosot, malah ada berpendapat ia antara yang terburuk di rantau ini.

Kadar elaun yang rendah kepada pengadil tempatan mungkin satu faktor penyumbang terhadap kemerosotan itu, namun ramai terlepas pandang.

Menyedari kepentingan perkara tersebut, Jawatankuasa Pengadilan Persekutuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil inisiatif mengkaji semula kadar bayaran elaun yang sewajarnya kepada pengadil tempatan.

"Pengadil adalah orang yang paling penting di padang kerana mereka yang menentukan sama ada sesuatu perlawanan itu berkualiti, ataupun sebaliknya," kata pengerusi Jawatankuasa Pengadilan FAM Datuk Astaman Abdul Aziz, Selasa.

Beliau berkata jumlah yang diterima perlu setimpal dengan beban tugas pengadil kerana ia bukan hanya setakat di padang, sebaliknya mereka perlu menyiapkan laporan setiap kali tamat perlawanan.

Astaman yang juga timbalan presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur berkata, anak muda tempatan kini kurang berminat menjadikan profesion itu sebagai kerjaya.

Beliau berkata bukan mudah untuk menjadi seorang pengadil kerana seseorang itu perlu menduduki beberapa peperiksaan yang diiktiraf Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA), sebelum mendapat lesen pengadilan.

"Jika kita mampu tawarkan jumlah bayaran dan kemudahan yang lebih baik, saya yakin lebih ramai anak muda tempatan yang berminat untuk menceburi bidang ini," katanya.

Beliau berkata aspek pengadilan adalah satu eleman penting yang perlu dimajukan secara bersama, seiring dengan pembangunan bola sepak tempatan.

Astaman berkata sehubungan itu, pihaknya akan membawa perkara tersebut pada mesyuarat peringkat exco dalam masa terdekat.

Sementara itu, seorang pengadil yang hanya ingin dikenali sebagai Ahmad berkata cadangan tersebut amat dialu-alukan oleh semua pengadil tempatan, setelah sekian lama kebajikan mereka terabai.

"Kadang-kadang kami sebagai pengadil, terpaksa mengeluarkan duit poket sendiri kerana kos perbelanjaan adalah lebih besar berbanding dengan jumlah elaun yang diterima.

"Namun, atas sebab minat dan cinta kepada sukan bola sepak, kami sanggup terus memilih profesion ini sebagai kerjaya sampingan," katanya.

Beliau berkata untuk berdepan sukan bola sepak moden yang kian mencabar, pengadil terpaksa mengambil makanan tambahan serta rawatan sama seperti yang diperlukan pemain, dan kosnya agak tinggi.

"Pengadil pada era ini perlu berlari lebih pantas daripada pemain, (jadi) untuk kekalkan stamina, pengadil juga perlu terus berlatih dan ia juga melibatkan kos dan masa, sedangkan kebanyakan pengadil mempunyai kerjaya lain," katanya Ahmad berkata luahan hati beliau berhubung perkara itu bukan bermaksud mahu mendesak FAM.

"Saya harap perkara ini tidak dipersoalkan oleh banyak pihak, kerana cadangan menaikkan elaun pengadil bukanlah satu pembaziran, sebaliknya ia adalah usaha untuk mempertingkatkan mutu bola sepak negara," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain