suria

Nadal Sedia Tawan London

BINTANG tenis nombor satu dunia, Rafael Nadal (gambar) dijangka akan pulih sepenuhnya menjelang perlawanan akhir ATP Dunia, 21 November ini di London selepas menarik diri beraksi pada Paris Masters minggu ini kerana cedera di bahagian bahu.

Nadal yang bakal menamatkan aksi tahun ini di ranking nombor satu dunia selepas memenangi Terbuka Perancis, Terbuka Wimbledon dan Terbuka Amerika Syarikat mengalami tendinitis di bahagian bahu kirinya, namun dia yakin akan kembali turun menjalani latihan minggu ini.

“Saya tidak risau aksi di London nanti. Keputusan menarik diri daripada beraksi pada Paris Masters baru-baru ini bukanlah mudah kerana Paris adalah tempat istimewa bagi saya, namun saya telah bermain kesemua perlawanan Masters dan Grand Slams musim ini,” kata pemain Sepanyol ini.

“Saya akan berlatih secepat mungkin, sebelum Ahad ini,” kata pemain dari Sepanyol ini.

Di sebalik kejayaan meraih gelaran juara dunia, Nadal bakal menamatkan persembahan tahun ini dengan penuh bergaya di London selepas mengalami aksi buruk pada aksi pertamanya tahun lalu di tempat yang sama.

“Saya akan melakukan yang terbaik di sana. Ia adalah sasaran saya untuk membersihkan kembali rekod teruk tahun lalu,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain