suria

Daniel Bego Mahu Perbaiki Prestasi Di Guangzhou

KUALA LUMPUR: Perenang negara Daniel Bego berazam untuk memperbaiki prestasinya semasa Sukan Asia 2006 di Doha, dalam temasya sama di Guangzhou, yang berlangsung pada 12 hingga 27 November ini.

Beliau yang mendapat tempat keenam pada pusingan akhir 100m kuak kupu-kupu semasa di Doha, mensasarkan untuk mengatasi rekod terbaiknya 53.82s dalam acara itu.

"Untuk Sukan Asia ini saya tak sasarkan pingat cuma nak buat yang lebih baik dari Doha. Matlamat saya adalah untuk memecahkan rekod terbaik sendiri," katanya.

Daniel, yang akan beraksi dalam acara 50m, 100m dan 200m kuak kupu-kupu serta 100m gaya bebas, menjangkakan saingan sengit di Guangzhou berikutan kehadiran jaguh-jaguh renang dari China, Jepun dan Korea Selatan.

Walaupun pulang tangan kosong dari Sukan Komanwel di New Delhi bulan lepas, anak kelahiran Sarawak itu tidak patah semangat dan kini sedang gigih berlatih di bawah bimbingan jurulatih Paul Birmingham.

Daniel, yang merupakan penerima Anugerah Olimpian 2009, menyumbangkan lima emas untuk negara menerusi kolam renang pada Sukan Sea di Laos tahun lalu, di samping melayakkan diri ke Sukan Olimpik Beijing 2008.

Selain Daniel, skuad renang negara ke Sukan Asia dianggotai Khoo Cai Lin, Kevin Yeap Soon Choy, Leung Chii Lin, Chui Lai Kwan, Chan Kah Yan, Ian James Barr, Yap See Tuan, Christina Loh, Joshua Lee, Erika Kong dan Foo Jian Beng. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain