suria

Gandingan Emas Bagi Acara Raifal Harap Tuah Di Guangzhou

KUALA LUMPUR: Pasangan menembak negara Nur Suryani Mohamed Taibi dan Nur Ayuni Farhana Abdul Halim, pemenang pingat emas bagi acara 10m raifal angin berpasangan wanita pada Sukan Komanwel di India bulan lepas, menyimpan impian untuk membawa balik sebutir pingat tanpa mengira warna pada Sukan Asia di Guangzhou, China yang bermula pada minggu depan.

Nur Suryani, 27, berkata cabaran yang bakal dihadapi oleh mereka di Sukan Asia adalah berbeza dengan Sukan Komanwel kerana bukanlah satu perkara mudah untuk membawa pulang pingat dari kejohanan kedua terbesar dunia itu.

Penembak berasal dari Perak itu berkata mereka perlu bersaing dengan penembak handalan dunia dari negara tuan rumah, Jepun, India dan Korea Selatan yang nyata lebih berbakat.

"Saya tidak berani untuk membuat sasaran emas, sasaran sebutir pingat tanpa mengira warna itupun telah dianggap sukar namun kami akan cuba lakukan yang terbaik," katanya ketika dihubungi Bernama, Ahad.

Nur Suryani akan mengambil bahagian dalam enam acara iaitu 10m raifal angin individu, 10m raifal angin berpasukan, 50m 'raifle 3 positions' individu, 50m 'raifle 3 positions' berpasukan, 50m 'raifle prone' individu dan 50m 'raifle prone' berpasukan.

Bagi Nur Ayuni, 19, yang kali pertama beraksi di peringkat Sukan Asia berkata cabaran ke Guangzhou adalah satu cabaran baru bagi dirinya.

"Apa yang saya perlu lakukan dan beri tumpuan kini adalah berusaha untuk lakukan aksi yang terbaik. Insya-Allah, saya yakin pingat akan datang selepas berusaha," katanya.

Penembak kelahiran Pahang itu berkata sasaran pingat beliau diletakan kepada acara kegemaranya 10m raifal angin berpasangan wanita.

Nur Ayuni mengambil bahagian dalam empat acara iaitu 10m raifal angin individu, 50m 'raifle 3 positions' individu, 50m 'raifle 3 positions' berpasukan dan 10m raifal angin berpasukan.

Nur Ayuni dan Nur Suryani bersama-sama penembak lain giat menjalani latihan persiapan akhir di Lapang Sasar Menembak Antarabangsa Langkawi (Lisram) dan mereka dijadualkan berlepas ke Guangzhou pada Rabu ini.

Seramai 12 lagi penembak negara yang akan menggalas cabaran ke Sukan Asia itu ialah Hasli Izwan Amir Hasan, Hafiz Adzha, Bibiana Ng Pei Chin, Joseline Cheah Lee Yean, Shahera Rahim Raja, Mariani Rafali, Muhamad Shahril Sahak, Mohd Nurrahimin Abdul Halim, Hisyam Adzha, Bernard Yeoh Cheng Han, Chen Seong Fook dan Ong Chee Kheng.

Artikel Sebelum

Artikel Lain