suria

Skuad Badminton Wanita Tak Harap Pingat Pada Sukan Asia

KUALA LUMPUR: Bukannya menyerah kalah sebelum melangkah ke gelanggang tetapi berpijak pada bumi yang nyata.

Itulah yang boleh dikatakan tentang skuad badminton wanita negara yang tidak berharap untuk meraih sebarang pingat pada Sukan Asia Ke-16 di Guangzhou, China pada 12 hingga 27 November ini.

Meskipun diramal dapat melepasi pusingan awal menentang Hong Kong dengan mudah, pasukan negara menghadapi laluan sukar pada peringkat suku akhir apabila dijangka bertemu johan Piala Uber tahun ini iaitu Korea Selatan.

Perseorangan utama negara Wong Mew Choo berkata penyertaan skuad negara ke Sukan Asia kali ini lebih merupakan pendedahan untuk para pemain muda yang kebanyakannya pertama kali beraksi dalam temasya itu.

"Kali ini kita nak beri pengalaman pada pemain-pemain muda. Saya rasa ini satu pendedahan yang baik, bagi mereka lebih berani menentang lawan," kata pemain perseorangan ke-20 dunia itu di sini, Rabu. Selain Mew Choo dan perseorangan kedua Lydia Cheah, skuad negara ke Guangzhou dibarisi hampir semua pemain muda iaitu perseorangan Tee Jing Yi dan Sannatasah Saniru serta beregu Marylen Poauleng/Woon Khe Wei dan Vivian Hoo/Lim Yin Loo.

Bagaimanapun, bagi dirinya sendiri, Mew Choo mensasarkan untuk membawa pulang pingat tanpa mengira warna dalam acara individu.

Walaupun menyedari lawannya kelak terdiri daripada jaguh-jaguh dunia seperti Eriko Hirose dari Jepun dan Wang Yihan dari China, Mew Choo berkata beliau akan tetap memberi tentangan habis-habisan.

"'Asian Game' memang lebih mencabar berbanding Sukan Komanwel. Lawan memang hebat-hebat, Indonesia, Jepun, Korea dan kita (Malaysia) pun setakat ini tak pernah ke suku akhir.

"Tapi bagi saya, saya akan cuba sebaik mungkin dan harap boleh bawa pulang satu pingat," katanya.

Skuad badminton negara akan berlepas ke Guangzhou pada 9 Nov ini sebagai persiapan awal sebelum acara bermula pada 14 haribulan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Jadual Perlawanan Liga Juara-Juara

Artikel Lain