suria

Sembilan Pingat Emas Sasaran Rasional - Ahmad shabery

KUALA LUMPUR: Sasaran sembilan pingat emas di temasya Sukan Asia Guangzhou adalah suatu yang realistik selepas mengambil kira pembaharuan yang dilakukan bagi membaiki pencapaian pada temasya terdahulu, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata sasaran itu juga adalah pengukur terhadap usaha yang dilakukan untuk meningkatkan pencapaian atlet negara.

"Kalau dulu kita mendapat lapan (pingat emas) di Doha (Qatar) dan untuk kali ini kita sasarkan sembilan berdasarkan kepada perkiraan yang realistik," katanya kepada pemberita, di sini pada Rabu.

Mengenai kerisauan atlet dalam acara sukan yang bersifat subjektif, Ahmad Shabery yakin peraturan yang ditetapkan dapat mengurangkan manipulasi.

Katanya pihak tuan rumah juga perlu memastikan pengadilan sukan bersifat subjektif dibuat secara telus.

Pada temasya Sukan Asia Guangzhou dari 12 hingga 27 Nov ini, Malaysia menghantar kontinjen terbesar melibatkan 337 atlet dan 126 pegawai.

Atlet negara akan menyertai 28 daripada 42 acara sukan yang dipertandingkan pada temasya kali ini.

Ahmad Shabery sebelum itu mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan hadiah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) dan penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen Malaysia ke Sukan Asia Guangzhou, di Dewan Bankuet, Bangunan Parlimen. - BERNAMA

Artikel Berikut

Jadual Perlawanan Liga Juara-Juara

Artikel Lain