suria

Sazali Rangkul Gelaran Mr Universe Buat Kali Ke-Enam

KUALA LUMPUR: Jaguh bina badan negara Sazali Abdul Samad menutup kalendar sukan tersebut tahun ini dengan meraih gelaran Mr Universe buat kali ke-enam pada Kejohanan Bina Badan Dunia di Varanasi, India yang berakhir Ahad.

Setiausaha Kehormat Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM) Kamaruzaman Kadir berkata kejayaan Sazali yang bertanding dalam kategori lightweight (bawah 70 kg) membolehkan anak kelahiran Batu Pahat itu mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya pada kejohanan yang sama di Dubai tahun lepas.

"Sazali memenangi gelaran Mr Universe buat kali ke-enam selepas merangkul gelaran itu pada 2000, 2004, 2006, 2007 dan 2009," katanya kepada Bernama di sini, Isnin.

Selain koleksi gelaran Mr Universe, Sazali turut berjaya merangkul gelaran Mr Asia tujuh kali, bermula dari tahun 1996, 1998, 1999, 2000, 2004, 2009 dan 2010.

Anggota polis berpangkat Sarjan itu sebelum ini baru sahaja dinobatkan sebagai Mr Asia buat kali ketujuh selepas memenangi kategori lightweight (bawah 70kg) pada Kejohanan Bina Badan Asia kali ke-44 yang berlangsung di Tehran, Iran pada Ogos lepas.

Selain Sazali, Malaysia turut menghantar empat lagi atlet ke Varanasi iaitu Othman Yahya (bawah 80 kg), Buda Anchah (bawah 65 kg), Mohd Noor Syukri Nasir (bawah 70 kg) dan Mohd Syarul Azman Mahen (bawah 80 kg).

Kamaruzaman berkata hanya Othman yang berjaya menduduki tangga kelima dalam kategorinya sementara yang lain tersingkir di peringkat awal.

Beliau berkata kejohanan di India itu juga menutup kalendar sukan bina badan bagi tahun ini kerana PBBM tidak berhasrat untuk menghantar wakil negara ke Temasya Sukan Pantai Asia (Asian Beach Games) di Muscat, Oman pada Disember ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain