suria

Roslinda Tunjuk Peningkatan Menjelang Sukan Asia - Mohd Manshahar

KUALA LUMPUR: Ratu lompat bergalah negara Roslinda Samsu perlu memperbaiki teknik lonjakan sekiranya berhasrat memburu pingat pada Sukan Asia di Guangzhou, China, bermula 12 Nov ini.

Jurulatih negara Mohd Manshahar Abd Jalil berkata teknik lonjakan yang seimbang akan membolehkan atlet itu melepasi ketinggian yang pernah dicatatkan sebelum ini.

Selepas kekecewaan pada Sukan Komanwel di New Dehli, bulan lepas, katanya, prestasi Roslinda menunjukkan peningkatan berdasarkan Kejohanan Olahraga Terbuka Kebangsaan yang berakhir di sini semalam.

Pada kejohanan itu di stadium mini di Bukit Jalil di sini, Roslinda mengutip emas dengan catatan 4.10m namun masih tersasar berbanding rekod kejohanan 4.20m yang dicatat oleh Phuong Le Thi dari Vietnam pada kejohanan tahun 2004.

"Kemajuan dari segi tekniknya sudah banyak diperbaiki khususnya dalam bahagian larian untuk lonjakan tetapi saya masih perlu perbaiki tekniknya ketika cuba melepasi palang," kata jurulatih itu kepada Bernama di sini, Isnin.

Mohd Manshahar berkata dalam jangka masa pendek sebelum Sukan Asia, beliau akan terus membimbing Roslinda agar atlet itu berpeluang memburu pingat.

Roslinda pulang dengan tangan kosong dari New Delhi dengan menduduki tempat ke-10 daripada 13 peserta apabila sekadar melepasi ketinggian 3.95m, jauh datipada rekod kebangsaan yang dipegangnya iaitu 4.40m.

Pada Sukan Asia Doha 2006, Roslinda meraih perak dengan ketinggian 4.35m, dan pada Sukan Komanwel di Melbourne, Australia tahun yang sama, beliau mencatatkan 4.25m. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain