suria

Sukan Golf Mampu Maju Perniagaan, Kemudahan Dan Pakej Pelancongan

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sukan golf di Malaysia kini mampu memajukan perniagaan, kemudahan dan pakej pelancongan yang boleh mempromosikan negara dan sukan itu sendiri.

Perdana Menteri berkata terdapat peluang perniagaan yang kukuh dalam mempromosikan Malaysia sebagai sebuah destinasi golf memandangkan pemain golf adalah kumpulan yang cara hidupnya berkemampuan dalam segi kewangan dan kecenderungan untuk mengembara ke luar negara.

"Apa lagi kita ada sumber-sumber, kemudahan dan kecintaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah destinasi kelas dunia dalam sukan golf.

"Golf adalah juga satu sukan yang merangkumi banyak kualiti, saya sering memperkatakan. Dalam 1Malaysia, kita cakap mengenai kekuatan, meritokrasi, kesaksamaan dan kejayaan - semua elemen dalam sukan ini," kata beliau pada teks ucapan yang dibacakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis penyampaian hadiah CIMB Asia Pacific Classic Malaysia di Mines Resort and Golf Club dekat sini Ahad.

Beliau berkata sukan golf, di hati semua industri utama yang menjana pekerjaan, perusahaan, pembangunan ekonomi dan pendapatan untuk masyarakat di seluruh kebanyakan negara dan nilainya melangkaui sukan dan aktiviti rekreasi.

Najib berkata Malaysia dijangka menerima kira-kira RM300 juta pendapatan secara tidak langsung daripada acara sukan ini dengan pengesahan kehadiran PGA Tour untuk enam tahun akan datang.

Sebagai contoh, katanya terdapat 10,000 hingga 15,000 penonton hadir pada acara ini hari ini sahaja, di mana 20 peratus adalah pelawat asing ke Malaysia.

"Kedatangan pelancong antarabangsa ini dijangka menyumbang secara tidak langsung kepada ekonomi kita dan angka ini akan meningkat kerana mereka mengambil peluang semasa berada di Malaysia untuk meneroka dan menikmati semua keindahan yang ada di negara ini," kata beliau.

Perdana Menteri berkata acara ini dikaitkan dengan PGA Tour yang diiktiraf, ia juga diharap agar Malaysia akan menerima publisiti di seluruh dunia sebagai negara tuan rumah bagi satu lagi acara sukan kelas dunia ini.

Beliau berkata publisiti seperti itu dianggarkan memberikan pulangan kira-kira RM240 juta nilai tambahan dan ini tidak memeranjatkan kerana setiap kejohanan PGA Tour disiarkan kepada lebih 500 juta isi rumah di seluruh dunia.

"Acara sukan berprestij ini, khasnya menerusi pelancongan golf boleh memberikan sumbangan secara berkesan ke arah Program Transformasi Ekonomi negara dan hasrat kita mencapai sebuah negara maju sepenuhnya menjelang 2020," kata beliau.

Najib juga mengucapkan tahniah kepada Ben Crane dari Amerika Syarikat yang muncul sebagai juara dalam acara empat hari itu, menewaskan 39 pemain profesional terbaik dunia dari kedua-dua PGA Tour dan Asian Tour.

Crane menerima hadiah wang tunai US$1 juta dan sebuah trofi daripada Muhyiddin. Pada majlis itu, Muhyiddin dan Duta Indonesia ke Malaysia Tan Sri Dai' Bachtiar menyaksikan penyampaian sekeping cek bernilai RM1 juta daripada pengasas The Mines, venue acara sukan ini, Tan Sri Lee Kim Yew kepada wakil Yayasan Tzu Chi Malaysia, Tan Chee Wei.

Yayasan Tzu Chi akan mengagih-agihkan sumbangan itu sebagai bantuan kepada rakyat Indonesia yang terbabit dengan tragedi tsunami di kepulauan Mentawai, pantai Sumatera dan letupan gunung Merapi, di tengah Jawa, dekat Yogyakarta.-BERNAMA

Artikel Lain