suria

Shaaban Mahu Bawa Pengalaman Ke Terbuka Singapura

KUALA LUMPUR: Walaupun menduduki tempat terakhir dalam saingan Kejohanan Golf Asia Pasifik Klasik Malaysia CIMB, pemain golf Malaysia Shaaban Hussin tetap bertekad untuk membawa pengalaman yang diraih dari kejohanan itu dalam menghadapi cabaran Terbuka Singapura, bulan depan.

Menurut beliau pada kejohanan di Mines Resort and Golf Club di sini yang berakhir hari ini, beliau banyak belajar untuk menyerap tekanan hebat, kerana beliau adalah pemain tunggal negara yang beraksi di gelanggang sendiri dalam kejohanan itu.

Katanya pengalaman yang diperolehi di Kejohanan Golf Asia Pasifik Klasik Malaysia CIMB itu amat berharga dan corak permainannya sepanjang kejohanan itu boleh dikatakan konsisten.

"Pengalaman bermain dengan pemain-pemain ternama dunia khususnya dari kalangan pemain PGA Tour adalah sesuatu yang diimpikan.

"Ia adalah persiapan terbaik saya bagi menghadapi Terbuka Singapura dan selepas ini, tumpuan saya adalah untuk mendapatkan Asian Tour card untuk tahun depan. Ada beberapa lagi kejohanan Jelajah Asia tahun ini dan saya akan gunakannya sebaik mungkin," katanya.

Penyertaan di Terbuka Singapura adalah yang kedua bagi dirinya selepas kali pertama mengambil bahagian pada 2008.

"Pada masa itu saya tidak bernasib baik kerana ketinggalan satu pukulan untuk "cut". Sasaran saya pada penyertaan kali ini ialah untuk melepasi "cut" dan seterusnya mencari kedudukan terbaik di kejohanan itu," katanya, Ahad.

Kejohanan Terbuka Singapura akan berlangsung pada 11 hingga 14 November ini di Sentosa Golf Club dan ia menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah AS$6 juta.

Shaaban adalah pemain tunggal Malaysia dalam kejohanan sulung Asia Pasifik Klasik Malaysia CIMB yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah AS$6 juta.

Pada kejohanan yang berakhir hari ini, pemain Amerika Syarikat Ben Crane berjaya meraih kejuaraan dengan mengumpul 266 pukulan, 18 di atas par.

Sementara itu Shaaban tidak pulang tangan kosong apabila di membawa pulang sebahagian daripada wang hadiah yang ditawarkan yang berjumah AS$50,000.

"Apa yang terfikir di fikiran saya ketika ini ialah untuk membawa isteri, ibu bapa serta mertua saya untuk mengerjakan umrah pada Januari nanti," katanya.-BERNAMA

Artikel Lain