GUA MUSANG: Bandar Gua Musang menjadi lokasi pertama di Kelantan menyaksikan perarakan Piala Malaysia selepas pasukan bola sepak negeri itu menumpaskan Negeri Sembilan 2-1 untuk menjulang piala berprestij negara itu pada aksi final, Sabtu lepas.Kira-kira 5,000 penyokong berkumpul di dataran Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) di sini bagi menyaksikan perarakan piala itu, yang diketuai Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa, yang menaiki kenderaan pacuan empat roda. Turut mengiringi beliau ialah beberapa pemain pasukan bola sepak Red Warrior, Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dan calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Abdul Aziz Yusoff.Annuar ketika ditemui pemberita berkata, kemenangan itu amat bermakna kepada pihak persatuan, pemain, jurulatih dan penyokong selepas mengharungi pelbagai cabaran."Ramai lupa laluan perjalanan kami, kami didenda ratusan ribu, mengalami masalah hutang jutaan ringgit, berdepan masalah mendapatkan pemain, dengan segala yang lalui akhirnya inilah tempat Kelantan (juara)," katanya.Bagaimanapun katanya semua pihak tidak boleh terlalu leka dengan kejayaan tu kerana pembangunan sukan bola sepak negeri perlu dilakukan secara berterusan.Mengenai dakwaan sesetengah pihak kononnya Barisan Nasional (BN) merampas majlis keraian kemenangan itu, Annuar berkata perkara itu tidak timbul kerana bola sepak negeri Kelantan sememangnya dimajukan oleh Umno."Tidak timbul isu itu sebab Umno yang ambil tanggungjawab pulihkan bola sepak di Kelantan, keputusan saya jadi Presiden Kafa adalah keputusan Badan Perhubungan Umno Negeri dan pimpinan Umno negeri juga beri peruntukan yang besar," katanya.Beliau seterusnya meminta negeri Kelantan menaik taraf stadium Sultan Mohammad IV di Kota Bharu bagi membangunkan sukan bola sepak serta bagi membolehkan lebih ramai peminat menyaksikan perlawanan bola sepak di stadium itu.Sementara itu Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed berkata perarakan Piala Malaysia itu merupakan satu penghormatan kepada penduduk Gua Musang khususnya di kawasan DUN Galas. - BERNAMA