suria

Pusingan Kelayakan Buka Tirai Pusingan Ke-5 ARRC

ZHUHAI: Permulaan pada pusingan kelayakan kejuaraan Asia Road Racing (ARRC) bagi kategori Underbone 115cc dan SuperSport 600cc membuka tirai bagi pusingan kelima yang berlangsung di Litar Antarabangsa Zhuhai (ZIC).

Dalam pusingan kelayakan itu, pelumba negara dari pasukan Motul Yamaha YY Pang Racing Team, Md Rozaiman Md Said hanya menduduki tangga kelapan dengan catatan masa 2:15.448.

Ini diikuti dengan pelumba dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha AHM KHI, Md Ramdan Md Rosli di kedudukan kesembilan dengan catatan masa 2:15.557.

Setakat ini, empat tempat teratas didominasi oleh pasukan dari negara Indonesia diikuti dengan pasukan Thailand.

Keadaan litar yang baik ditambah dengan cuaca cerah memberi kelebihan kepada pelumba untuk bersaing.

Namun keadaan angin yang tidak menentu sedikit sebanyak menjejaskan prestasi pelumba.

Bagi Md Rozaiman, semuanya berada dalam keadaan baik cuma teknik pengendalian jentera perlu ditingkatkan.

"Walaupun cuaca di sini sejuk, ia bukan satu masalah cuma keadaan angin yang agak kencang menyebabkan sukar untuk kawal motosikal.

"Bagaimanapun saya tetap akan cuba memberi yang terbaik pada pusingan kali ini," katanya.

Namun katanya, hari ini hanyalah satu permulaan dan dia akan cuba memberi saingan untuk mendapatkan lima tempat teratas.

Berbeza pula dengan kategori SuperSport 600cc di mana pelumba negara dari pasukan Petronas Yamaha Malaysia, Md Zamri Baba menduduki tangga ketiga dengan catatan masa 1:40.148.

Ini diikuti dengan Azlan Shah Kamaruzaman di tempat kelima dengan catatan masa 1:40.280 dan Ahmad Fuad Baharudin dengan masa 1:40.826.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain