suria

Pelumba Negara Optimis Rebut Podium

ZHUHAI: Perlumbaan bagi kategori Underbone 115cc mula mendapat rentak pusingan kelayakan II kejuaraan Asia Road Racing (ARRC) apabila pelumba negara, Md Affendi Rosli dari pasukan Harian Metro SCK Honda Racing setakat ini mencatat masa tertinggi di antara pelumba negara yang lain.

Dengan catatan masa 2:13.757, Affendi yakin mampu memberi saingan kepada pelumba dari negara lain.

Setakat ini, lima tempat teratas didominasi oleh pelumba dari negara Indonesia diikuti dengan pelumba Thailand di tempat keenam dan ketujuh.

Bagaimanapun Md Affendi begitu optimis dalam meletakkan sasaran untuk menjejakkan kaki di podium.

"Dengan keadaan jentera yang baru diubahsuai, saya yakin dapat mengatasi pelumba dari negara lain.

"Setakat ini, keadaan jentera agak baik cuma terdapat sedikit masalah pada sistem pendawaian namun ia bukan masalah besar bagi saya," katanya.

Berbeza pula dengan kategori SuperSport 600cc di mana pelumba harapan negara dari pasukan Petronas Yamaha Malaysia, Md Zamri Baba agak kecewa dengan prestasinya pada kelayakan kedua ini.

Menurutnya, keadaan jentera yang mengalami sedikit masalah pada tayar membantutkan kelancarannya untuk menguasai pusingan kelayakan kedua.

"Saya agak kecewa dan sedikit tertekan hari ini kerana jentera saya menghadapi sedikit masalah pada tayar.

"Tapi semua ini tidak menjadi halangan untuk saya memperbaiki prestasi dan cuba mendapatkan tempat terbaik pada perlumbaan sebenar esok," katanya.

Dengan catatan masa 1:40.148, Zamri yakin mampu menyaingi pelumba dari Thailand yang mendominasi dua tempat teratas.

Kedudukan pertama masih dikuasai pelumba Thailand dari pasukan Petronas Yamaha Thailand, Decha Kraisat manakala tempat kedua juga dari negara dan pasukan sama, Chalermpol Polamai.

Pelumba tuan rumah, Li Zheng Peng, dari pasukan China Zhongshen Team menduduki tempat ketiga.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain