suria

Pelumba Malaysia Terus Cemerlang Di Tour d' Indonesia

MELAKA: Dua pelumba Malaysia, Mohd Shahrul Mat Amin dan Ahmad Fakhrullah Mohd Alias terus memperaga kayuhan cemerlang apabila menduduki tempat ketiga serta kelima perlumbaan peringkat ke-6 Tour d’Indonesia sejauh 159 kilometer dari Jogjakarta ke Madiun, Sabtu.

Dua pelumba negara yang berpangkalan di Melbourne, Australia merekodkan masa tiga jam 36 minit 57 saat dengan purata kelajuan 43.97 kmj bagi mengekalkan momentum kegemilangan selepas kem Malaysia mencatat beberapa keputusan cemerlang sebelum ini.

Terdahulu pada perlumbaan peringkat keempat dari Pekalongan ke Semarang sejauh 89.4km menyaksikan nama Malaysia terus gah apabila Mohd Zamri Salleh selaku pemecut unggul memanjat podium apabila menduduki tempat kedua.

Prestasi pelumba itu yang disapa Za selaku calon pemecut terbaik rentetan ketiadaan Anuar pada Tour d’Indonesia 2010 bukan satu kebetulan kerana dia menduduki tempat keempat pada perlumbaan peringkat ke-2 dari Bandung ke Cirebon sejauh 191.6km.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF), Abu Samah Wahab mencabar pelumba negara supaya bangkit melakukan kejutan pada Le Tour de Langkawi 2011 (LTdL 2011) bagi membuktikan pelaburan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menghantar mereka berlatih Melbourne sejak Julai lalu bukan satu pembaziran.

“Tujuan KBS untuk membentuk sebuah pasukan trek dan lebuh raya yang sama kuat. Mungkin perkara ini belum mampu direalitikan lagi tetapi pelumba lebuh raya Malaysia harus terus konsisten mencatat keputusan cemerlang dalam setiap perlumbaan yang disertai,” katanya dalam satu kenyataan.

Abu Samah yang juga Naib Presiden Persatuan Berbasikal Asia (ACC) percaya pemilihan ke LTdL 2011 yang akan dijalankan awal Disember ini akan bertambah rancak kerana beberapa pelumba Malaysia B khususnya Suhardi Hassan ketika ini turut mempamerkan mutu kayuhan berkualiti.

“Suhardi baru saja menang Grand Prix Kebangsaan Pusingan Ketiga yang diadakan di Kemaman, Terengganu. Prestasi pelumba Selangor, Sarham Miswan juga sangat baik. Saya gembira dengan perkembangan ini. Ia bermakna pelumba sangat positif melihat prestasi baik sesama mereka,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berharap pelumba negara yang handal mendaki bukit seperti Suhardi, Mohd Nur Rauf Misbah dan Amir Mustafa Rusli keluar dari kepompong `malu mempamerkan prestasi cemerlang’ kerana nasib keseluruhan pasukan Malaysia di LTdL 2011 bergantung sepenuhnya kepada kekuatan pendaki.

“Lihat saja nasib pasukan kebangsaan pada Le Tour de Langkawi 2010. Awalnya kita duduk nombor lima dan enam keseluruhan.

Bagaimanapun, posisi Malaysia jatuh merudum ke tempat ke-14 gara-gara gagal mendaki Genting Highlands dengan baik.

“Persatuan tidak mahu perkara yang sama berulang. Kalau ini berulang, bermakna pelaburan KBS tidak dipulangkan dengan sebaik-baiknya. Tetapi saya percaya pelumba positif dan sentiasa mahu mengukir nama selaku pemenang dalam setiap kejohanan yang mereka sertai,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain