suria

Pemilihan Persatuan Bola Sepak Terengganu 6 November

KUALA TERENGGANU: Kongres Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) 6 November ini dijangka hangat dengan bakal berlaku pertandingan jawatan-jawatan penting dalam persatuan itu.

Setiausaha PBSNT Abdullah Salleh berkata jawatan dari pengerusi hingga ahli jawatankuasa akan dipertandingkan pada kongres kali ini.

"Dijangka ramai muka-muka baru akan bertanding," katanya.

Beliau berharap semua ahli gabungan PBSNT akan hadir bagi memeriahkan kongres yang akan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Rozi Mamat, di Dewan Sri Amar di sini.

Sementara itu, Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu (Peteh) berharap kongres PBSNT kali ini akan menghasilkan pemimpin-peminpin yang berwibawa dan komited kepada sukan bola sepak Terengganu.

Setiausahanya Wan Mohd Azmi Wan Ngah berkata ia penting bagi mengembalikan kegemilangan bola sepak Terengganu seperti suatu ketika dahulu.

Beliau berkata peminat-peminat bola sepak Terengganu sering melahirkan rasa kecewa kerana pasukan Terengganu semakin kebelakang dan tidak lagi menggenggam sebarang piala.

"Kita harap perwakilan yang akan menghadiri kongres itu kelak akan memilih pemimpin-pemimpin yang berkualiti dan dapat memberikan sumbangan fikiran kepada pembangunan bolasepak Terengganu pada masa depan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain