suria

Bekas Pemain Bola Sepak Terengganu Meninggal

MARANG: Bekas pemain bola sepak Terengganu Mohd Nor Botok, 60, meninggal dunia awal hari ini akibat kanser usus.

Pemain seangkatan legenda bola sepak negara Mokhtar Dahari itu meninggal di Hospital Sultanah Nur Zahirah (SNNZ) di sini kira-kira pukul 5.30 pagi.

Anaknya Rosmainoor, 36, berkata bapanya dimasukkan ke hospital itu kerana penyakit barah dalam usus dan menjalani pembedahan pada Khamis lepas.

"Keadaannya semakin baik selepas pembedahan, tetapi berubah tenat dan bapa meninggal dunia pagi ini," katanya ketika ditemui di sini.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, enam anak - dua lelaki dan empat perempuan berumur antara 22 dan 40 tahun, dan 12 cucu.

Rosmainoor berkata anggota keluarga termasuk beliau berada di sisi semasa bapanya menghembuskan nafas terakhir.

Mohd Nor merupakan pemain bahagian penyerang yang terkenal pada tahun 60-an bersama-sama Sulaiman Rejab, Harun Jusoh dan Abdullah Mohamad.

Katanya bapanya pernah menjadi jurulatih pasukan T'Team dan pasukan jabatan-jabatan kerajaan Terengganu selepas bersara dari bermain.

Turut menziarahi keluarga Allahyarham, Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said dan rakan seperjuangan serta pemimpin Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT).

Jenazah dikebumikan kira-kira pukul 11.30 pagi ini di tanah perkuburan Islam Kampung Gong Balai, Mercang di sini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain