suria

Tiada Rombakan Besar: Wan Jamak

SEREMBAN: Juara bertahan, Negeri Sembilan tidak akan membuat rombakan besar dalam barisan pemain apabila berdepan Kelantan pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Jurulatih skuad itu Wan Jamak Wan Hassan berkata beliau hanya menyandarkan harapan kepada beberapa pemain pengalaman termasuk Idris Karim, Shukor Adan, Ching Hong Aik, S. Kunalan dan Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak.

"Saya akui tidak punya banyak pilihan berikutan pemain muda cetek pengalaman," katanya di sini, Selasa.

Walaupun agak malang kerana ketiadaan penyerang berbisa Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak, yang berehat panjang kerana kecederaan lutut serius, Wan Jaman berkata Idris yang mengisi posisi serangan dianggap tonggak utama barisan depan berikutan pengalaman dan kelincahannya.

"Mengenai kedudukan ketua pasukan Rezal Zambery Yahya selepas kecederaan kakinya, saya berharap dia akan pulih dalam masa terdekat. Kehadirannya dalam senarai kesebelasan utama Negeri Sembilan amat diharapkan kerana dia perancang utama selain pembimbing pemain muda," katanya.

Wan Jamak berkata beliau kini lebih memberi tumpuan untuk memperkemaskan lagi strategi dan jentera serangan bagi memastikan setiap peluang berjaya dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemain.

Tiada perubahan ketara dilakukan kerana ia boleh mengganggu rentak dan persefahaman mereka, katanya.

Wan Jamak yakin skuadnya ada ramuan untuk menang walaupun Kelantan berazam menebus kekecewaan tahun lepas.

Di dalam permainan bola sepak terutama di peringkat final, apa sahaja boleh berlaku dan Wan Jamak berharap barisan pemainnya akan terus fokus dan bersemangat tinggi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Alonso Juara GP Korea

Artikel Lain