Hafizh (tengah) muncul juara bagi kategori CP130 di Pekan pada Ahad.PELUMBA PETRONAS Sprinta Yamaha Raceline, Hafizh Syahrin Abdullah mencipta rekod baru apabila muncul juara termuda mencatat kemenangan ketiga berturut-turut selepas memenangi kategori CP130 pada Pusingan 8, Siri Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang berlangsung di Litar Taman Tasik Sultan Abu Bakar, Pekan pada Ahad.Hafizh, 16, menamatkan saingan 15 pusingan selepas berjaya meninggalkan pencabar terdekat, Mohd Zamri Baba dengan kelebihan 8.922 saat. Hafizh menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 12:36.209 saat manakala Zamri (PETRONAS Sprinta Yamaha AHM) dan rakan sepasukan Hafizh, Azlan Shah Kamaruzaman mengakhiri perlumbaan di tempat kedua dan ketiga masing-masing dengan 12:45.131s dan 12:46.113s.Hafizh yang bermula di petak utama meninggalkan pelumba lain sebaik perlumbaan dilepaskan dan ia jelas tidak mampu dicabar oleh pelumba lain sehingga dia melepasi garisan penamat.“Semuanya berjalan lancar seperti dirancang. Saya memecut sebaik lampu merah dipadamkan dan cuba meninggalkan kelompok pelumba lain sejauh mungkin."Di pusingan ke-4, saya menyaksikan paparan masa (lapboard) bahawa saya meninggalkan pencabar 1.5 saat di belakang. Dari situ saya hanya mengekalkan persembahan dan menumpukan sepenuh perhatian pada perlumbaan sehingga sampai ke garisan penamat,” jelas Hafizh.Ketika diajukan kejayaan meraih kemenangan ketiga berturut-turut, dia berkata: “Saya berterima kasih kepada penaja dan pasukan yang telah menjadikan kejayaan saya pada hari ini satu kenyataan. Juga tidak lupa buat jurulatih fizikal dan tunjuk ajar dari bapa sendiri atas kemenangan ini. Mereka adalah inpirasi kejayaan saya dan tanpa mereka, saya mungkin tidak mengecapi kejayaan seperti hari ini (Ahad).Dengan kemenangan ini, Hafizh kini melonjak ke tangga kedua keseluruhan dengan 128 mata, ketinggalan lapan mata ke atas pendahulu ketika ini, Ahmad Fazli Sham (Shell Advance Yamaha Maju) yang mengumpul 136 mata.Sementara itu, Norizman Ismail dari Harian Metro SCK Honda Racing di tempat ketiga dengan 121 mata.Dalam Anugerah Berpasukan, PETRONAS Sprinta Yamaha Raceline kini menjadi pendahulu baru dengan 209 mata diikuti pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha AHM, 197 mata dan tempat ketiga pasukan Shell Advance Yamaha Maju dengan 183 mata.Dalam kategori CP115, Mohd Adli Salihin dari pasukan Motul Yamaha YY Pang memperagakan persembahan cemerlang untuk merangkul juara sulung musim ini.Dia menamatkan saingan 12 pusingan dengan masa 15:07.644 saat diikuti Mohd Ramdan Mohd Rosli dengan masa 15:08.146 saat.Sementara itu, Mohd Rozaliman Zakaria (ZAR & HTM Motorsports Racing) meraih tempat ketiga dengan catatan 15:18.528 saat.Adli, pelumba berusia 22 tahun menggunakan kelebihan berada di petak utama untuk mendahului pelumba lain sebaik perlumbaandimulakan, tidak melakukan sebarang kesilapan dan berjaya mengekalkan rentak persembahan untuk melintasi garisan penamat selaku pelumba pertama.Menurutnya, kemenangan ini adalah bonus buat pasukan dan dia berharap agar kejayaan yang diraih di Pekan ini menaikkan lagi semangat pasukan."Saya harap dapat mengekalkan rentak cemerlang ini pada baki perlumbaan seterusnya dan berharap dapat mengutip seberapa banyak mata untuk mencabar kejuaraan keseluruhan sekalipun ianya tampak tipis,” jelas Adli.Kemenangan ini meletakkan Adli naik satu anak tangga dari kedudukan tangga keempat ke tempat ketiga dengan 108 mata sementara pendahulu keseluruhan, Ramdan masih kekal di tangga teratas dengan 146 mata diikuti rakan sepasukan Adli, Mohd Rozaiman Mohd Said yang menamatkan perlumbaan di tempat keenam dengan 115 mata di tangga ketiga keseluruhan.Dalam Anugerah Berpasukan, PETRONAS Sprinta Yamaha AHM masih mengekalkan kedudukan tempat teratas dengan 224 mata manakala pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Raceline berada di tempat kedua dengan 160 mata dan Motul Yamaha YY Pang di tempat ketiga dengan 143 mata.Dalam kategori Wira, Mohd Syawalludin Mohd Zaki dari Modenas Forty One Racing akhir berjaya menyekat kemaraan Mohd Adib Rosley untuk merakam kemenangan kelima musim ini.Syawalludin mencipta kemenangan sulung musim ini apabila menamatkan perlumbaan 10 pusingan dengan masa 13:28.705 saat.Sementara itu, dua pelumba Motul Yamaha YY Pang, Mohd Azhar Abdul Jalil dan Adib hanya berpuas hati di tempat kedua dan ketiga dengan catatan 1:29.049 saat dan 13:31.388 saat.Ia adalah saingan di antara dua pelumba, Azhar dan Syawalludin apabila masing-masing berjaya memintas satu sama lain untuk memimpin saingan.Namun di akhir perlumbaan, Syawalludin, 17, berjaya memintas kedudukan Azahar pada Selekoh 6 ketika pusingan ke 8. Bermula dari situ, Syawal terus memimpin perlumbaan sehingga ke garisan penamat.“Selepas tujuh pusingan, akhirnya kami berjaya menafikan dominasi pasukan Motul Yamaha YY Pang. Terima kasih kepada krew pasukan di atas kerja keras mereka. Kejayaan ini adalah untuk ahli keluarga dan rakan yang banyak memberi sokongan kepada karier saya. Saya cukup berpuas hati di atas kejayaan pada perlumbaan hari ini,” ujar Syawalludin.Dengan kemenangan ini, Syawalludin masih mengekalkan kedudukan ketiga keseluruhan dengan 105 mata sementara Adib kekal di tangga teratas dengan 141 diikuti Azhar di tempat kedua dengan 133 mata.Cabaran pelumba pada peringkat seterusnya ialah di Litar Sepang Selatan pada 20 dan 21 November depan.