suria

Serah Kepada Kafa - Sathianathan

KOTA BAHARU: Ketua Jurulatih Kelantan, B. Sathianathan meluahkan rasa kecewa dengan keputusan lembaga disiplin Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menggantungnya selama enam bulan dan denda sebanyak RM2,000 berkuat kuasa serta-merta.

Ini kerana katanya, keputusan itu mampu membawa kesan kepada Kelantan yang berdepan Kedah pada perlawanan timbal balas peringkat separuh akhir Piala Malaysia.

"Saya kecewa dan sedih dan harap moral pemain saya tidak terjejas. Keputusan sukar ini saya terima ketika kita (Kelantan) sedang berdepan Kedah dengan harapan besar dapat melayakkan ke perlawanan akhir," katanya kepada pemberita, Sabtu.

Semalam, Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad berkata Sathianathan dihukum atas kesalahan memberi kenyataan kepada media berhubung stadium tuan rumah bagi perlawanan Perlis dan Terengganu ketika Liga Super musim lepas.

Mengulas lanjut, Sathianathan berkata beliau hanya mengetahui penggantungannya itu menerusi kakitangan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) pagi tadi.

"Saya diberitahu surat tersebut difaks ke pejabat Kafa sejak semalam lagi. Berikutan semalam adalah hari Jumaat dan ia merupakan hari cuti hujung minggu di Kelantan maka mereka hanya mengetahui mengenai surat tersebut pagi tadi," katanya.

Sathianathan berkata beliau belum membuat keputusan sama ada akan merayu hukuman tersebut dan menyerahkan kepada Kafa untuk tindakan lanjut.

Sementara itu Naib Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Kelantan, Mohd Zaini Mohd Zain meminta FAM meneliti semula keputusan tersebut yang dilihatnya sebagai tidak adil.

"Tindakan FAM itu juga mengguris hati penyokong pasukan Kelantan," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

WPKL Pertahan Gelaran Juara

Artikel Berikut

Artikel Lain