suria

Jee Young Kongsi Kedudukan Pendahulu Bersama Hjorth

KUALA LUMPUR: Pemain Korea Selatan, Lee Jee Young meneruskan saingan hebatnya apabila sekali lagi berkongsi kedudukan pendahulu selepas pusingan kedua Kejohanan Golf Sime Darby LPGA Malaysia, Sabtu.

Pada saingan di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) di Bukit Kiara, dekat sini, Jee Young berkongsi pendahulu dengan pemain Sweden Maria Hjorth dengan catatan terikat enam bawah par 136.

Pada pusingan hari ini, Jee Young melakarkan dua birdie dan satu bogey untuk catatan satu bawah par 70 selepas memperoleh lima bawah par 66 semalam.

"Saya bermain dengan baik hari ini walaupun hanya satu di bawah par. Sekali lagi berkongsi kedudukan pendahulu memberi sedikit tekanan. Saya akan menelefon ibu saya untuk meredakan tekanan dan sedia untuk perlawanan esok," kata Jee Young.

Bagi Hjorth pula, pukulan eagle pada permulaan lubang keenam telah membantu untuk mengembalikan ketenangannya.

"Pada keseluruhannya, saya bangga dengan pusingan ini dan jika boleh melakukan tiga atau bawah par esok, ianya baik sekali. Saya berusaha keras untuk bersaing dalam dirinya sendiri dan itulah sasaran saya esok," katanya.

Mengekori rapat dua pendahulu itu di tempat ketiga dengan ketinggal satu pukulan ialah pemain Korea Selatan, Kim Song-Hee dengan jumlah catatan lima bawah par 137.

Sementara itu, pendahulu pusingan pertama semalam, Mika Miyazato dari Jepun jatuh ke tangga keempat dengan catatan empat bawah par 138, sekaligus berkongsi tempat dengan pemain Amerika Syarikat, Juli Inkster dan Natalie Gulbis.

Dalam pada itu, pemain nombor satu dunia, Ai Miyazato dari Jepun menunjukkan peningkatan dengan merekodkan satu bawah par 70 hari ini.

Catatan itu sekaligus memperbaiki catatan lima di atas par 76 semalam untuk mengumpul 146 pukulan serta berkongsi tangga ke-43 dengan empat pemain lain.

Pusingan kedua kejohanan sulung yang menawarkan hadiah wang tunai US$1.8 juta (RM5.6 juta) itu sekali ini ditangguhkan selama dua jam berikutan hujan lebat sebelum disambung semula pada pukul 4.55 petang.-BERNAMA

Artikel Sebelum

WPKL Pertahan Gelaran Juara

Artikel Berikut

Artikel Lain