suria

Rooney Buat U-Turn Dan Umum Kekal Bersama United Hingga 2015

Wayne Rooney bersama pengurus pasukan Sir Alex Ferguson selepas menandatangani kontrak baru selama lima tahun bersama Manchester United. Foto John Peters/Man Utd via Getty
Wayne Rooney bersama pengurus pasukan Sir Alex Ferguson selepas menandatangani kontrak baru selama lima tahun bersama Manchester United. Foto John Peters/Man Utd via Getty
Wayne Rooney bersama pengurus pasukan Sir Alex Ferguson selepas menandatangani kontrak baru selama lima tahun bersama Manchester United. Foto John Peters/Man Utd via Getty

MANCHESTER: Dalam tindakan u-turn yang mengejutkan semua pihak, pemain kontroversi Manchester United (Man Utd), Wayne Rooney telah bersetuju untuk menandatangani kontrak baru bersama kelabnya itu yang akan menyaksikannya terus beraksi di Old Trafford sehingga ke tahun 2015.

Rooney bersetuju untuk terus kekal bersama Man Utd hanya selepas dua hari mengisytiharkan yang dia mahu meninggalkan kelab tersebut kerana mendakwa kelab itu tidak menunjukkan minat mendapatkan khidmat pemain ternama dan kehilangan dorongan untuk terus kekal sebagai yang terbaik.

Dengan keputusan Rooney itu, beliau kini menjadi pemain dengan gaji tertinggi dalam sejarah kelab Inggeris tersebut dengan bayaran sebanyak £180,000 seminggu.

Bagaimanapun, pihak media di Britain kini memainkan isu lain pula. Rooney dan agennya, Paul Stretford dikatakan menggunakan strategi mahu berpindah keluar sebagai jalan untuk ‘memeras ugut’ United bagi membolehkan Rooney memperolehi bayaran gaji tertinggi.

Ini kerana dengan berbuat demikian, kelab-kelab lain terus menyatakan minat mereka bagi mendapatkan khidmat Rooney dengan menawarkan gaji yang berlipat kali ganda dan itu digunakan sebagai asas tawar menawar dengan Man Utd.

Perkembangan terbaru ini juga sebaliknya menjadi berita buruk buat saingan tradisi Man Utd iaitu jiran sebelah, Manchester City yang mempercayai bahawa Rooney memang benar-benar mahu meninggalkan United sekaligus membuka laluan kepada mereka untuk memancing penyerang England itu berhijrah ke sana.

Dalam pada itu Rooney berkata; "Saya berasa sungguh gembira kerana akhirnya kedua-dua belah pihak bersetuju untuk menandatangani perjanjian baru yang membolehkan saya terus kekal bersama United sehingga ke tahun 2015. Saya telah bercakap dari hati ke hati bersama pengurus pasukan dan juga dengan pihak pengurusan dan mereka akhirnya menyakinkan saya bahawa di sinilah saya patut berada. Saya telah nyatakan sejak Rabu lalu bahawa Sir Alex Ferguson adalah seorang yang genius dan atas kepercayaan dan sokongan beliaulah akhirnya saya memutuskan untuk terus kekal bersama United.”

Rabu lalu Rooney dalam satu kenyataannya berkata beliau memutuskan untuk tidak menandatangani kontrak baru kerana ragu-ragu dengan komitmen kelab itu untuk mendapatkan pemain-pemain ternama pada masa akan datang dan juga ragu-ragu dengan masa depan United di bawah pemilikan keluarga Glazer.

Kenyataannya itu mendorong Sir Alex mengkritik tindakannya mempersoalkan komitmen dan masa depan United serta memberi amaran kepada Rooney bahawa dia bakal melakukan kesilapan yang paling besar dalam hidupnya. Tetapi sehari selepas itu Sir Alex telah mengadakan pertemuan segera dengan Ketua Pegawai Eksekutif Man Utd, David Gill bagi menentukan masa depan Rooney. Dan inilah hasilnya.

Berikut adalah kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Man Utd berhubung masa depan Rooney:

Wayne Rooney telah bersetuju menandatangani perjanjian baru bersama Manchester United untuk terus kekal selama lima tahun lagi iaitu sehingga Jun 2015.

Persetujuan itu dicapai selepas pihak kelab mengadakan perbincangan dengan agen Rooney hari ini. Dengan perjanjian baru ini bermakna di akhir kontraknya, Wayne Rooney akan bermain selama 11 tahun bersama kelab Manchester United.

Sir Alex Ferguson berkata: "Ia adalah minggu yang penuh dengan kesukaran dan cabaran dan saya telah mengulangi kenyataan saya kepadanya (Rooney) bahawa pintu United sentiasa terbuka kepadanya dan akhirnya saya berasa sangat gembira kerana d Wayne telah memutuskan untuk terus bersama United.

"Kini Wayne memahami betapa besar dan hebatnya kelab ini. Dan saya berasa lega beliau akhirnya menerima cabaran untuk terus menjadi contoh dan membimbing pemain-pemain muda di kelab ini serta mengukuhkan dirinya sebagai salah seorang pemain terhebat yang pernah beraksi untuk kelab ini.”

Artikel Sebelum

WPKL Mara Ke Separuh Akhir

Artikel Berikut

Artikel Lain