suria

Perairan Pantai Kok Lokasi Fasa Terakhir Latihan Skuad Pelayaran

LANGKAWI: Skuad pelayaran Malaysia ke Sukan Asia 2010 menjadikan perairan Pantai Kok di sini sebagai lokasi untuk latihan fasa terakhir dalam persiapan ke temasya sukan itu di Guangdong, China, dari 12 hingga 22 November ini.

Pengurus Besar Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA) Mohd Afendy Abdullah berkata skuad 18 pelayar itu menjalani latihan sejak awal bulan ini di lokasi itu yang mempunyai ombak dan angin kuat.

Ini dibuat atas inisiatif MYA setelah latihan yang dicadang di Auckland, New Zealand dan Perth, Australia pada awal bulan depan dibatalkan.

"Oleh kerana pembatalan latihan di luar negara, kita terpaksa memilih perairan Pantai Kok yang mempunyai ombak dan angin kuat yang diperlukan oleh pelayar," katanya di sini.

Mohd Afendy berkata latihan fasa terakhir itu yang akan diadakan sehingga akhir bulan ini akan dapat memantapkan lagi persediaan pelayar menghadapi temasya itu.

Skuad pelayaran dijadual menamatkan latihan di sini pada 30 Oktober dan akan bertolak ke China pada 5 November.

Pada Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar, Malaysia meraih satu pingat emas menerusi Rufina Tan dalam kelas Optimist.

Selain 18 pelayar itu, skuad negara akan turut disertai Mohd Afendy selaku pengurus pasukan, Abdul Rani Idris (ketua jurulatih/penolong pengurus), Muhammad Sahir A. Rahim (jurulatih Optimist), Andrew Nathaniel Brown (jurulatih International 420 dan 470), Javier Borojovich (jurulatih Laser).

Senarai pelayar:

Mohd Romzi Mohamad (Laser Radial),

Razman Mat Ali, Ahmad Hakhimi Ahmad Shukri (International 470),

Khairunnisa Mohd Afendy, Norashikin Mohamad Sayed (International 420 wanita)

Ku Anas Ku Zamil, Mohamad Hafzuddin Mazelan (International 420 lelaki).

Ahmad Latif Khan Ali Sabri Khan (Optimist lelaki)

Nurul Izzatul Akmar Muhamad (Optimist wanita),

Geh Cheow Lim (Windsurfing RS-X wanita),

Koe Sin Yee (Windsurfing MOD wanita),

Hadri Zainal Abidin (Windsurfing RSX lelaki),

Khairulnizam Mohd Afendy (Laser Standard),

Mohd Masyuri Rahmat, Mohamad Farizol Md Rejab, Ahmad Fakhrizan Deraman, Mohd Adib Mohd Ariff dan Mohd Karimi Bakar (Keel Boat). - BERNAMA

Artikel Sebelum

WPKL Mara Ke Separuh Akhir

Artikel Berikut

Artikel Lain