suria

LTdL Kekal 10 Hari Perlumbaan

KUALA LUMPUR: Kebimbangan betapa tarikh penganjuran Le Tour de Langkawi 2011 (LTdL 2011) akan dipinda daripada 10 hari kepada 7 hari gara-gara salah faham Jawatankuasa Lebuh Raya Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) ketika membuat keputusan di Kongres UCI di Melbourne, bulan lalu akhirnya selesai.

Keputusan untuk mengekalkan cadangan tarikh asal sebanyak 10 peringkat perlumbaan dari 23 Januari sehingga 1 Februari mendapat kata sepakat selepas Naib Presiden Persatuan Berbasikal Asia (ACA), Abu Samah Abd Wahab berbincang bersama Presiden UCI, Pat McQuaid Isnin lalu.

Abu Samah yang juga Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan Penasihat LTdL 2011 menjelaskan McQuaid membuat keputusan positif tersebut sekalipun laporan dan cadangan Pengarah Jawatankuasa Lebuh Raya UCI, Philippe Chevallier hanya membenarkan LTdL 2011 diadakan selama tujuh hari dari 26 Januari sehingga 1 Februari.

“Keputusan Jawatankuasa Lebuh Raya UCI diketuai Philippe Chevallier pada mesyuarat Kongres UCI yang diadakan di Melbourne bulan lalu ialah LTdL 2011 diadakan selama tujuh hari iaitu dari 26 Januari sehingga 1 Febuari. Alasan Philippe Chevallier ialah kita telah memohon untuk pengurangan tarikh pengurangan pada 2007.

“Philippe Chevallier turut menyatakan ada kemungkinan ramai pasukan Pro Tour dan benua dari Eropah tidak suka kalau perlumbaan Le Tour de Langkawi diadakan selama 10 hari. Bagaimanapun kita ada bukti Tour of Korea diadakan selama 9 hari manakala Tour of Indonesia pula 12 hari.

“Jadi tidak wujud prejudis atau salah sangka andainya kita buat perlumbaan selama 10 hari. Saya tekankan perkara ini kepada Pat McQuaid. Alhamdulillah beliau faham akan kepentingan perlumbaan LTdL,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Bulan lalu, Jawatankuasa Lebuh Raya UCI pada Kongres UCI yang diadakan di Melbourne memutuskan pada dasarnya untuk mengarahkan penganjur LTdL 2011 mengadakan perlumbaan terbesar di Asia itu selama 7 hari bukan 10 hari sebagaimana perancangan asal.

LTdL 2011 yang bakal menyaksikan penampilan semula perlumbaan peringkat pertama di Pulau Langkawi dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan mendapat nasihat kepakaran daripada PKBM.

Sejumlah 21 pasukan Pro Tour dan benua sebahagian besarnya dari Eropah dan sekurang-kurangnya lima pasukan kebangsaan termasuk skuad lebuh raya Malaysia yang kini sedang menjalani latihan intensif di Melbourne atas perbelanjaan KBS dijangka menyertai LTdL 2011.

Sementara itu, Abu Samah turut memuji semangat permuafakatan yang ditunjukkan oleh pengurusan ACA khususnya Presiden Cho Hee Wook dari Korea Selatan yang sebulat suara mahu membantu Malaysia dalam menangani permasalahan tersebut.

“Asia sekali lagi membuktikan bahawa semua masalah yang ada di dalam benua Asia boleh ditangani secara kolektif dan dipersetujui sebulat suara. Inilah kehebatan badan berbasikal Asia,” katanya yang juga Presiden ACA.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LTdL 2011, Mohamed Salleh menegaskan keputusan UCI membuktikan badan dunia tersebut memperaku kehebatan tenaga kepakaran anak tempatan dalam menganjurkan perlumbaan bertaraf dunia selama 10 hari.

“Sebenarnya kami amat percaya kepada nasihat dan bantuan Abu Samah sebagai Naib Presiden Persatuan Berbasikal Asia. Daya kepemimpinannya di peringkat Asia meyakinkan Presiden UCI bahawa Malaysia sememangnya mampu untuk menganjurkan LTdL 2011 selama 10 hari ini.

“Malah saya sendiri sentiasa percaya Presiden UCI akan menggunakan kuasanya untuk mengekalkan tarikh cadangan asal LTdL 2011. Akhirnya semalam kami terima keputusan tersebut daripada badan kebangsaan,” katanya.

Artikel Sebelum

WPKL Mara Ke Separuh Akhir

Artikel Berikut

Artikel Lain