suria

Kuala Lumpur Tunjuk Taring

KUALA LUMPUR: Juara bertahan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) menang mudah pada perlawanan peringkat kumpulan A, Kejohanan Bola Jaring Kebangsaan Ke-32 yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara, Khamis.

Pada perlawanan pembukaan menentang Perlis, skuad WPKL membelasah Perlis 54-15, dan turut menundukkan Negeri Sembilan 48-13 sekaligus skuad bimbingan Norizan Rejab ini menjuarai kumpulan A.

Norizan berkata, walaupun saingan peringkat kumpulan kelihatan agak mudah, namun ada lagi kelemahan-kelemahan yang perlu dibaiki.

"Masih ada lagi kelemahan yang akan dibaiki pada pusingan kedua nanti. Saya tidak nafikan saingan sengit menanti selepas ini dan tumpuan juga turut diberi kepada beberapa pasukan lain.

"Selain Johor selaku naib johan tahun lalu, pasukan Selangor dan Kedah juga perlu diberi perhatian berdasarkan perlawanan pagi tadi," katanya kepada mStar Online.

Sementara itu, perlawanan bagi Kumpulan B menyaksikan Johor mengalahkan Pahang 49-29, Selangor ketepikan Melaka, 43-20 (Kum D) dan Kedah menewaskan Terengganu, 36-25 bagi Kumpulan C.

Kejohanan kali ini disertai 12 pasukan yang dibahagi kepada empat kumpulan Kumpulan A, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Perlis dan Negeri Sembilan.

Kumpulan B, Johor, Pahang dan Angkatan Tentera. Kumpulan C, Melaka, Selangor dan Perak manakala Kumpulan D, Kedah Terengganu dan Polis Diraja Malaysia ( PDRM).

Pada kejohanan tahun ini, Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM) akan menilai sejauh mana kemampuan Persatuan Negeri menguruskan persatuan masing-masing dan juga mempertingkatkan aspek pengendalian teknikal.

Pada edisi 2009, Wilayah Persekutuan muncul juara setelah mengalahkan Johor pada saingan akhir.

Artikel Sebelum

WPKL Mara Ke Separuh Akhir

Artikel Lain