suria

Wan Jamak Tidak Pandang Rendah Keupayaan Johor FC

SEREMBAN: Negeri Sembilan tidak memandang rendah keupayaan Johor FC dalam aksi separuh akhir pertama di sini esok, biar pun pasukan itu berstatus kelab.

Justeru, jurulatih Wan Jamak Wan Hassan menuntut komitmen tinggi pemainnya bagi meneruskan kemaraan ke pentas akhir kerana pasukan itu bakal berdepan dengan lawan berpengalaman.

"Walaupun Johor FC sebuah pasukan berstatus kelab, tapi Johor FC adalah sebuah pasukan yang telah lama dalam kancah bola sepak tanah air yang mampu bertahan sehingga kini.

"Kalau pasukan tersebut boleh melayakkan ke peringkat separuh akhir, kita perlu menghormati mereka. Oleh itu, kita tidak boleh leka dan ambil mudah dalam perlawanan peringkat separuh akhir ini," kata bekas pengendali pasukan kebangsaan itu di sini, Selasa.

Ketua pasukan skuad Rusa Rezal Zambery Yahya pula turut mengingatkan rakan-rakannya supaya berwaspada ketika berdepan Johor FC.

"Pada saya mana-mana pasukan yang berada di peringkat separuh akhir Piala Malaysia ini adalah pasukan terbaik.

Walaupun Johor FC berstatus kelab, kita tidak boleh ambil mudah cabaran pasukan itu (Johor FC) dan kita akan sentiasa berwaspada," katanya.

Rezal berkata skuad Rusa mempunyai kemampuan meneruskan kemaraan ke perlawanan akhir Piala Malaysia musim ini jika kesemua pemain memberikan komitmen tinggi seperti mana ketika melepasi halangan Perlis pada suku akhir lepas.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain