suria

Pelumba TCT Terus Berlatih di Melbourne

MELAKA: Biarpun secara dasarnya sudah dipikat pasukan Terengganu Cycling Team (TCT), namun tiga pelumba kebangsaan Mohd Harrif Salleh, Shahrul Mat Amin dan Yusrizal Usop dianggap bertuah kerana menerima lampu hijau untuk terus berlatih bersama skuad lebuh raya Malaysia di Melbourne, Australia bagi memantapkan persiapan pasukan kebangsaan negara menjelang Le Tour de Langkawi 2011.

Dengan sasaran menang sekurang-kurangnya satu perlumbaan peringkat pada LTdL 2011 sebagaimana digapai Anuar Manan, kehadiran tiga pelumba itu dianggap rakan sepelatih yang secocok kerana mempunyai kehebatan tersendiri.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF), Abu Samah Wahab menjelaskan kebenaran itu diluahkan Ketua Jurulatih Malaysia, John Beasley dalam satu pertemuan `perbincangan hati ke hati’ dengan semua pelumba skuad di Melbourne baru-baru.

“Dalam pertemuan itu saya bertanyakan kepada John bagaimanakah nasib empat pelumba iaitu (Mohd) Zamri (Salleh), Mohd Harrif, Shahrul dan Yusrizal. John dengan tegas menyatakan mereka perlu terus berlatih di Melbourne. Andainya menang di Le Tour de Langkawi 2011 atas tiket TCT sekalipun, mereka adalah pelumba Malaysia.

“Atas kebenaran John itu, saya telah keluarkan arahan rasmi kepada mereka supaya terus sambung latihan pusat di Melbourne sehinggalah ada satu keputusan rasmi lain dibuat tentang nasib mereka,” katanya yang juga Naib Presiden Persatuan Berbasikal Asia (ACA) dalam satu kenyataan di Melaka, Ahad.

Bagaimanapun, sehingga semalam, nama Mohd Zamri, pemenang pingat gangsa acara lepas beramai-ramai temasya dwitahunan Sukan Sea 2009 di Laos tercicir daripada perancangan pengurusan TCT kerana dipercayai tidak mendapat pelepasan daripada majikannya iaitu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Abu Samah menjelaskan pihaknya akan memaklumkan keputusan terbaru itu kepada pengurusan TCT bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Beliau berkata, keputusan itu juga telah dipersetujui oleh Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Mohid Mohamad kerana kementerian adalah penaja terbesar program pembangunan di Melbourne dengan memberikan peruntukan kepada skuad lebuh raya Malaysia semata-mata mahu melihat acara trek dan lebuh raya sama skuad sama hebat.

Dalam pada itu, beliau percaya penubuhan TCT tetap akan menjadi kenyataan dan mungkin berpeluang berkayuh di LTdL 2011 kerana semua urusan pendaftaran sudah selesai serta akan diserahkan kepada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) selewat-lewatnya dalam minggu ini.

Penubuhan dicetuskan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said rentetan kejayaan ramai pelumba kelahiran negeri berkenaan dalam pelbagai kejohanan besar seperti LTdL khususnya Anuar yang menang peringkat kelima pada LTdL 2010.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ketua Pegawai Eksekutif LTdL 2011, Mohamed Salleh menjelaskan persiapan untuk menganjurkan kejohanan terbesar di luar Asia itu kini berjalan lancar.

“Kami hanya menunggu keputusan rasmi daripada UCI berhubung tarikh sebenar Le Tour de Langkawi 2011. Buat masa ini, kami berpegang kepada tarikh 23 Januari sehingga 2 Februari 2011,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain